CSA MADANI: Pintu rundingan kekal terbuka kepada Ahli Parlimen lain – Fahmi
PUTRAJAYA – Kerajaan masih membuka ruang rundingan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang berminat untuk menyertai Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA MADANI), meskipun perjanjian itu sebelum ini dimeterai bersama 13 Ahli Parlimen.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pemeteraian perjanjian berkenaan merupakan perkembangan positif dalam memperkukuh kestabilan politik negara selain mencerminkan komitmen bersama terhadap agenda reformasi institusi.
Menurut beliau, penyertaan dalam CSA MADANI tidak terhad kepada 13 Ahli Parlimen yang menandatangani dokumen berkenaan pada Khamis, sebaliknya terbuka kepada wakil rakyat lain yang ingin mengadakan perbincangan dan menyertainya.
“Jadi pintu perbincangan itu kekal terbuka,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Semalam, seramai 13 Ahli Parlimen memeterai perjanjian persefahaman rasmi bersama kerajaan di Bangunan Parlimen bagi menjamin kestabilan pentadbiran serta menyokong kelulusan rang undang-undang utama di Dewan Rakyat.
Katanya, sebagai timbal balik, perjanjian dwipartisan itu turut menggariskan komitmen terhadap pelaksanaan reformasi institusi, pengukuhan mekanisme semak dan imbang serta pengagihan peruntukan kawasan secara lebih adil.
Mengulas mekanisme pemantauan pelaksanaan komitmen reformasi, Fahmi berkata kerajaan bercadang menggunakan pendekatan penilaian bersama atau joint assessment antara kedua-dua pihak.
Beliau berkata, pendekatan itu pernah dilaksanakan menerusi persefahaman politik pada sesi Parlimen 2021 hingga 2022 bagi mengesahkan komitmen yang dipersetujui telah dilaksanakan.
Katanya, mekanisme sama berpotensi digunakan semula bagi memastikan segala perkara yang dipersetujui dalam CSA MADANI dapat direalisasikan, khususnya membabitkan reformasi institusi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








