Malaysia gesa ASEAN percepat Kod Tatalaku Laut China Selatan – Khaled
KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa pemuktamadan Kod Tatalaku (COC) yang berkesan dan substantif di Laut China Selatan dipercepatkan serta diberikan keutamaan tertinggi bagi mengelakkan ketegangan dan memelihara kestabilan rantau ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua pihak perlu mengamalkan sikap menahan diri, mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta menyelesaikan pertikaian secara aman berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, pendirian Malaysia kekal jelas bahawa sebarang pertikaian maritim perlu diselesaikan berlandaskan undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).
“Malaysia amat menegaskan bahawa pemuktamadan Kod Tatalaku yang berkesan dan substantif di Laut China Selatan perlu dipercepatkan serta diberikan keutamaan tertinggi.
“Kami percaya Kod Tatalaku yang bermakna penting untuk memperkukuh keyakinan bersama, mengelakkan salah perhitungan serta memelihara keamanan dan kestabilan di rantau ini.
“Lagipun, tiada negara yang akan mendapat manfaat daripada konflik di Laut China Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pandangan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Ke-13 Plus (ADMM-Plus) di Cebu, Filipina hari ini.
Mohamed Khaled berkata, persekitaran keselamatan antarabangsa kini semakin tidak menentu berikutan persaingan strategik, ketegangan geopolitik dan konflik di beberapa bahagian dunia yang terus menguji asas keamanan serta kestabilan antarabangsa.
Menurutnya, perkembangan di Eropah, Asia Barat dan wilayah lain memberikan pengajaran penting kepada ASEAN supaya tidak membiarkan keadaan serupa berlaku di rantau ini.
Katanya, ASEAN perlu kekal bersatu, mengamalkan sikap menahan diri dan mengekalkan keamanan yang dibina sejak hampir enam dekad lalu.
Beliau berkata, kekuatan ASEAN terletak pada keupayaan negara anggotanya mengurus perbezaan melalui dialog, rundingan, sikap saling menghormati dan konsensus.
Menurutnya, prinsip menghormati kedaulatan, tidak campur tangan, penyelesaian pertikaian secara aman serta pematuhan undang-undang antarabangsa perlu terus menjadi panduan dalam menangani cabaran keselamatan serantau.
Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa perpaduan dan kedudukan utama ASEAN perlu dihormati dalam hubungan dengan rakan dialog, termasuk ketika menangani isu keselamatan maritim.
Katanya, kerjasama berasaskan penghormatan bersama penting bagi memastikan kepentingan setiap negara anggota ASEAN terus dipelihara.
“Sebagaimana ASEAN menghormati kepentingan dan perspektif rakan-rakan Plus, kami mengharapkan penghormatan yang sama diberikan kepada setiap negara anggota ASEAN tanpa sebarang pengecualian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








