BERITA SEMASA

Malaysia manfaatkan kepengerusian ASEAN 2025, bangkitkan isu Laut China Selatan

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka memanfaatkan kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan membangkitkan pelbagai perkara termasuk isu di Laut China Selatan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, perkara berkenaan perlu dibangkitkan memandangkan isu di Laut China Selatan itu melibatkan keseluruhan negara anggota ASEAN.

“Sebab itu kita gunakan juga platform ASEAN dan Malaysia selaku pengerusi, kita akan manfaatkan perkara itu dengan membangkitkan pelbagai isu.

“Yang penting bagi isu Laut China Selatan ini bagaimana kita boleh meneruskan aktiviti ekonomi kita, selamat bagi nelayan-nelayan dan aktiviti pergadangan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias di Dewan Rakyat hari ini mengenai langkah MINDEF dalam memanfaatkan platform ASEAN pada tahun depan.

Pada masa yang sama, Adly berkata, terdapat tiga teras penting yang diberi penekanan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhubung isu di Laut China Selatan.

“Yang pertama, kita tahu bahawa proses paling penting bila kita di Laut China Selatan, kita lihat bagaimana kita boleh pemodenkan aset-aset ini.

“Kalau dilihat di dalam Parlimen ini, kita banyak bincangkan  tentang keperluan-keperluan aset satu isu yang cukup penting kepada kita.

“Yang kedua, tentang operasi kita, macam operasi ni kita sentiasa tingkatkan dari semasa ke semasa, dan ketiga kita mendiplomasikan pertahanan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Adly memaklumkan situasi semasa kawasan perairan Laut China Selatan dalam keadaan selamat dan terkawal meskipun dengan kehadiran aset maritim China.

Beliau berkata, kehadiran aset maritim China di kawasan perairan Laut China Selatan hanya melibatkan Pasukan Pengawal Pantai (China Coast Guard).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button