Online scam: Myanmar hantar semula lebih 50,000 rakyat China
YANGON — Junta tentera Myanmar menghantar semula lebih 50,000 rakyat China yang disyaki terlibat dalam operasi penipuan dalam talian sejak Oktober 2023.
Kerajaan junta dalam satu kenyataan mendedahkan kewujudan ‘kompleks’ penipuan dalam talian yang berkembang pesat di kawasan sempadan negara itu yang menjadikan warga asing mangsa dalam pemerdagangan manusia untuk menipu rakyat negara mereka sendiri.
Menurut junta, industri haram itu juga telah menyebabkan kerugian berbilion dolar.
Artikel yang diterbitkan dalam akhbar kerajaan Global New Light of Myanmar buat pertama kalinya mendedahkan secara terperinci mengenai aktiviti jenayah yang melibatkan penipuan dalam talian dan perjudian.
Editorial tersebut berkata, junta telah menangkap dan mendeportasi lebih 55,000 warga asing yang terlibat dalam penipuan di sempadan sejak Oktober 2023, dengan lebih 53,000 daripadanya dikembalikan ke China.
Kumpulan terbesar kedua yang dihantar pulang adalah lebih 1,000 orang dari Vietnam, diikuti lebih 600 orang rakyat Thailand.
Selebihnya berasal dari sekitar 25 negara lain, menurut laporan Global New Light of Myanmar.
Menurut laporan itu, kebanyakan pelaku jenayah itu bukan warganegara Myanmar atau warga asing biasa tetapi “penjenayah buruan” yang memasuki Myanmar secara haram dari negara-negara jiran.
Sehubungan itu, Junta Myanmar menyeru negara-negara jiran untuk “mengambil bahagian dalam memerangi penipuan dalam talian dan perjudian dalam talian”.
Sempadan utara Myanmar dengan China sebelum ini menjadi sarang pusat penipuan dalam talian yang sering dikendalikan oleh pihak yang bersekutu dengan junta.
Namun, serangan besar-besaran oleh gabungan pemberontak etnik telah membersihkan banyak pusat penipuan tersebut.
Media tempatan Myanmar melaporkan bahawa bos-bos penipuan yang berjaya melarikan diri dari serangan itu kini telah membuka operasi baru di kawasan selatan, berhampiran sempadan dengan Thailand.
Menurut media kerajaan Myanmar, junta dan pegawai tentera Thailand telah bersetuju untuk bersama-sama membasmi perjudian dalam talian dan penipuan dalam talian.
Bryony Lau, Timbalan Pengarah Asia untuk Human Rights Watch berkata, kompleks penipuan itu menjadi krisis serantau yang kritikal ketika ini.
“Myanmar telah dilanda kekacauan sejak junta tentera menggulingkan pemimpin awam terpilih Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa pada tahun 2021.
“Keadaan itu semakin merumitkan usaha penguatkuasaan undang-undang dan pembasmian jenayah transnasional di kawasan sempadan negara tersebut”, katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








