JENAYAH & MAHKAMAH

Tragedi Pantai Batu Burok: Pelajar Myanmar ditemukan maut selepas 38 jam hilang

KUALA TERENGGANU – Penantian lebih 38 jam berakhir apabila mayat seorang pelajar warga Myanmar yang dilaporkan lemas ketika mandi-manda di Pantai Batu Burok, di sini, ditemukan awal pagi tadi.

Mangsa, Sithu Moe Lwin, 18, yang merupakan pelajar Kolej Universiti Antarabangsa INTI, ditemukan pada pukul 2.30 pagi oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asistan Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mayat pelajar Asasi Perniagaan itu ditemui terdampar di pesisir Pantai Batu Burok kira-kira 350 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Menurut beliau, mayat mangsa ditemukan ketika anggota SAR melakukan rondaan di sepanjang pantai menggunakan kenderaan lasak pelbagai permukaan (ATV).

“Pengecaman telah dibuat sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Terdahulu, mangsa bersama tiga rakan seuniversiti termasuk dua warga Kenya dan Filipina dilaporkan tiba di Terengganu untuk bercuti.

Mereka dipercayai mengunjungi Pantai Batu Burok untuk mandi-manda sebelum mangsa tiba-tiba dibawa arus kuat pada pukul 10.35 pagi menyebabkan dia lemas.

Operasi pencarian yang digerakkan sejurus laporan kehilangan diterima akhirnya menemukan mangsa dalam keadaan tidak bernyawa, sekali gus menamatkan usaha pencarian yang dijalankan sejak kelmarin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button