Lelaki lemas ketika menjaring ikan ditemukan
KUANTAN – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ketika menjaring ikan di Sungai Kobat, Taman Impian, kelmarin, ditemukan lemas awal pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mangsa, Muhammad Firdaus Zuharsema, 26, ditemukan anggota bomba pada pukul 2.30 pagi.
Katanya, Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sejak kelmarin berakhir apabila mayat mangsa ditemukan pada jarak 300 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
“Terdahulu, operasi pencarian memasuki hari kedua dengan pencarian dilakukan di permukaan air bermula di lokasi mangsa terjatuh sehingga radius 300 meter.
“Agensi penyelamat lain yang turut membantu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi kelmarin, Muhammad Firdaus dilaporkan hilang, manakala rakannya selamat selepas bot dinaiki terlanggar tunggul kayu.
Susulan itu, pasukan bomba menggerakkan operasi pencarian termasuk mendapatkan bantuan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan khidmat anjing pengesan (K9).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








