PM gesa Kemboja, Thailand berpegang kepada semangat dialog
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keperluan Kemboja dan Thailand mengutamakan pendekatan dialog, kebijaksanaan serta saling menghormati bagi meredakan ketegangan yang timbul, sekaligus memastikan keamanan dan kestabilan rantau ASEAN kekal terpelihara.
Perdana Menteri berkata, pendirian itu dizahirkan hasil perbualan telefon bersama rakan sejawatnya, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, yang memberi tumpuan kepada pertukaran pandangan serta pencarian hala tuju terbaik ke arah penyelesaian secara aman.
Menurut Anwar, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung esok dilihat sebagai platform sesuai dan konstruktif untuk membolehkan kedua-dua negara mengadakan perbincangan secara terbuka, menangani perbezaan melalui kaedah diplomasi, serta mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan.
“Wadah ini memberi ruang kepada rundingan secara berhemah demi kepentingan bersama dan kestabilan serantau,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan mesyuarat khas Menteri-Menteri Luar ASEAN berhubung perkembangan terkini hubungan Kemboja-Thailand diadakan susulan persetujuan yang dicapai antara Anwar dengan Perdana Menteri kedua-dua negara pada 11 Disember lalu.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan menerusi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








