BERITA SEMASA

Malaysia tidak campur tangan isu dalam negara Thailand, hanya bantu selesaikan pertikaian sempadan

JOHANNESBURG – Malaysia tidak pernah campur tangan dalam pertikaian sempadan antara Thailand dengan Kemboja, sebaliknya hanya membantu menyelesaikan isu berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menafikan dakwaan itu berkata, pihak yang mengecam terutamanya dari Thailand perlu memahami peranan Malaysia dalam membantu menyelesaikan pertikaian berkenaan sebelum membuat kenyataan tanpa usul periksa, lapor BH Online.

“Biar saya jelaskan. Pertama, sebagai negara jiran, sudah tentu kita prihatin (mengenai pertikaian itu), tetapi kita tidak terbabit. Kita hanya memudah cara untuk membantu mereka mencapai penyelesaian. Kita tidak memberikan sebarang cadangan khusus mengenai bagaimana mereka perlu menyelesaikan isu terbabit.

“Kita hanya mempertemukan ketua angkatan tentera mereka. Saya juga menghubungi kedua-dua perdana menteri mereka dan meminta mereka berbincang. Sudah tentu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump juga berbincang dengan mereka dan saya berhubung dengan kedua-dua pihak berkenaan kerana Malaysia dianggap sebagai rakan,” katanya.

Anwar yang ditemui media selepas menghadiri Sidang Kemuncak G20 di sini semalam, mengulas mengenai protes yang diadakan di hadapan Kedutaan Malaysia di Bangkok dan menegaskan, tidak wajar ada pihak di Thailand menuduh beliau mencampuri urusan negara mereka.

“Saya tidak tahu mengenai politik dalaman atau politik tempatan di sana sehingga boleh dikatakan kita campur tangan. Rakan-rakan kita di Thailand tidak harus salah faham, kepentingan kita hanyalah membantu mereka mencapai keamanan,” katanya.

Kata Anwar, pendirian Malaysia dalam isu pertikaian sempadan Thailand–Kemboja turut disokong semua pemimpin ASEAN.

Ditanya sama ada beliau bercadang membangkitkan isu itu dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, Anwar berkata, beliau akan mendengar jika perkara berkenaan disentuh oleh rakan sejawatnya dan Malaysia kekal komited membantu kedua-dua negara berjiran berkenaan mencapai perdamaian.

Beliau berkata, suara-suara yang kedengaran dari Thailand bukan sesuatu yang luar biasa kerana negara itu mengamalkan demokrasi.

“Saya tidak fikir kita harus terganggu daripada tugas utama kita untuk membantu mereka mencapai keamanan hanya kerana beberapa kenyataan oleh segelintir pihak yang kecil, kecewa dan terdesak,” katanya.

Semalam, media melaporkan sekumpulan individu membawa bendera Thailand dan kain rentang berkumpul di Kedutaan Malaysia di Jalan Sathon dan menuduh Anwar sebagai Pengerusi ASEAN campur tangan dalam usaha negara terbabit mempertahankan kedaulatannya.

Kumpulan berkenaan menuntut Anwar menghentikan tekanan supaya Thailand berunding dengan Kemboja mengenai kawasan sempadan yang dipertikaikan, selain menuduh Perdana Menteri melakukan ‘campur tangan politik’ dan mendakwa Malaysia serta AS cuba mempengaruhi keputusan Thailand secara tidak wajar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button