LUAR NEGARA

PRU Thailand: Bhumjaithai pimpinan Anutin raih kemenangan besar

BANGKOK – Parti Bhumjaithai pimpinan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mencatat kemenangan jelas pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang berlangsung pada Ahad, sekali gus membuka laluan kepada pembentukan kerajaan gabungan yang lebih stabil selepas tempoh ketidaktentuan politik berpanjangan.

Kemenangan itu dilihat mengukuhkan kedudukan Anutin yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri susulan penyingkiran Paetongtarn Shinawatra daripada parti populis Pheu Thai, selepas tercetus krisis politik berkait konflik sempadan Thailand-Kemboja.

Anutin berkata, kemenangan Bhumjaithai hari ini adalah kemenangan untuk semua rakyat Thailand, sama ada anda mengundi Parti Bhumjaithai atau tidak.

“Kita mesti berusaha sedaya upaya untuk berkhidmat kepada rakyat Thailand dengan kemampuan sepenuhnya,” kata pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Berdasarkan keputusan awal Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand dengan hampir 95 peratus pusat pengundian telah melaporkan keputusan, Parti Bhumjaithai memenangi kira-kira 192 kerusi Parlimen.

Parti Rakyat yang berhaluan progresif pula memperoleh 117 kerusi, manakala Pheu Thai yang sebelum ini mendominasi landskap politik Thailand hanya meraih 74 kerusi.

Beberapa parti lain memenangi gabungan 117 kerusi daripada keseluruhan 500 kerusi Parlimen, menurut pengiraan Reuters berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya.

Keputusan itu dijangka membolehkan Anutin membentuk kerajaan gabungan dengan majoriti selesa, sekali gus memberi mandat baharu kepada kepimpinan beliau untuk menstabilkan landskap politik Thailand yang sering bergolak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button