BERITA SEMASALUAR NEGARA

Rakyat Malaysia diingatkan elak kawasan pertikaian Thailand–Kemboja

BANGKOK – Kedutaan Besar Malaysia di Thailand menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak memasuki kawasan pertikaian di sepanjang sempadan Thailand dan Kemboja susulan ketegangan ketenteraan yang semakin meruncing antara kedua-dua negara.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui berkata, setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera atau terjejas dalam insiden pertempuran artileri yang berlaku di enam kawasan panas iaitu Kuil Ta Muen Thom, Kuil Ta Kwai, Chong Bok, Preah Vihear, Chong An Ma dan Chong Chom.

“Kawasan tersebut terletak di zon sempadan yang dikawal oleh pos pemeriksaan tentera. Terdapat kemungkinan pengembara, khususnya penunggang motosikal atau karavan, memasuki kawasan itu tanpa sengaja.

“Buat masa ini, tiga rakyat Malaysia yang berdaftar menetap di wilayah terbabit telah dihubungi dan mereka berada dalam keadaan selamat. Tiada permintaan bantuan diterima setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan yang memetik laporan Bernama, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana rakyat Malaysia yang berada di kawasan berisiko supaya segera mendaftar dengan kedutaan bagi memudahkan penyampaian maklumat dan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

“Sekiranya terdapat keperluan bantuan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan kedutaan di +66 87028 4659,” ujarnya.

Kedutaan Malaysia, katanya, akan terus memantau rapat perkembangan semasa dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Terdahulu, media melaporkan tentera Thailand dan Kemboja terlibat dalam pertempuran bersenjata di kawasan sempadan dengan kedua-dua negara saling menuduh sebagai pihak yang memulakan konfrontasi.

Ketegangan tercetus sejak 28 Mei lalu susulan insiden berdarah di Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Konflik itu berpunca daripada pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer yang masih belum dimuktamadkan selepas berdekad-dekad.

Ketegangan diplomatik turut meningkat apabila Thailand mengambil tindakan menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Kemboja selepas seorang anggota tenteranya cedera akibat letupan periuk api yang dipercayai baru dipasang.

Sebagai tindak balas, kerajaan Kemboja turut menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Thailand ke peringkat paling rendah pada Khamis lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button