Pasukan pemerhati diketuai Malaysia pantau ketelusan gencatan senjata di sempadan Thailand-Kemboja
GEMAS – Pasukan Pemerhati Interim (IOT) di sempadan Thailand dan Kemboja memainkan peranan penting dalam menjalankan siasatan terhadap ketelusan gencatan senjata di kawasan berkenaan.
Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, pasukan yang diketuai Malaysia itu seterusnya akan memaklumkan hasil siasatan kepada kedua-dua negara berkenaan, lapor portal Harian Metro.
Beliau memberitahu, IOT ada menerima laporan daripada kedua-dua negara bahawa berlaku beberapa pelanggaran gencatan senjata.
“Kita ambil laporan tersebut dan pasukan di lapangan akan buat siasatan… matlamat dan tugas utama kita adalah memastikan gencatan senjata berjalan dengan telus dan lancar.
“Kita juga meminta Thailand dan Kemboja untuk berhubung dengan Kumpulan Tindakan Bersama daripada kedua-dua negara termasuk bahagian perundangan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025 di Lapang Sasar, Kem Syed Sirajuddin, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Darat, Jen. Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Terdahulu, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata dengan teguh di sepanjang sempadan bersama mereka, dengan kedua-dua pihak mengekalkan kedudukan anggota tentera sedia ada serta tidak menambah kekuatan ketenteraan.
Menurut Minit Persetujuan Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan AM (GBC) yang dikeluarkan selepas mesyuarat luar biasa GBC pada 7 Ogos lepas, kedua-dua pihak juga perlu mengelak daripada melepaskan tembakan secara provokatif ke arah kedudukan atau pasukan lawan yang boleh mencetuskan ketegangan.
Dalam pada itu, Mohd Nizam berkata IOT ketika ini mengadakan perjumpaan dengan Thailand dan Kemboja sekurang-kurangnya dua kali seminggu bagi memerhati dan melaporkan perkembangan terkini di kawasan terbabit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








