BERITA SEMASA

Thailand, Kemboja diminta bertenang, kembali ke meja rundingan – Anwar

KUALA LUMPUR — Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja supaya bertenang serta kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Malaysia memainkan peranan aktif menggalakkan dialog dan penyelesaian secara aman melalui mekanisme dua hala serta ASEAN demi memastikan kestabilan serantau terus terpelihara.

Menurut Anwar, perkara itu dimaklumkan ketika beliau menerima panggilan telefon daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang turut menyentuh konflik antara Thailand dan Kemboja, hubungan dua hala serta beberapa isu global berkepentingan bersama.

“Berhubung ketegangan di sempadan Kemboja–Thailand, saya menjelaskan peranan Malaysia yang menggesa kedua-dua negara agar bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan ASEAN,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, malam tadi.

Anwar menegaskan Malaysia kekal bersedia membantu usaha meredakan keadaan, melindungi keselamatan orang awam serta memulihkan kestabilan serantau selaras dengan semangat kejiranan baik ASEAN.

Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai situasi semasa dan menyokong langkah penyaheskalasian.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan terhadap keterlibatan aktif Amerika Syarikat dengan ASEAN serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Untuk rekod, pada Oktober lalu bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, Thailand dan Kemboja menamatkan pertikaian sempadan yang berlarutan selama beberapa dekad menerusi pemeteraian perjanjian damai dikenali sebagai KL Peace Accord atau Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

Perjanjian bersejarah itu dimeterai oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dengan disaksikan Anwar dan Trump, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai perantara keamanan di rantau ASEAN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button