Lebih 5,600 peserta daftar Seminar Percukaian Kebangsaan 2026 anjuran HASiL
CYBERJAYA – Lebih 5,600 peserta mendaftar untuk menyertai Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2026 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) yang memberi tumpuan kepada cadangan Belanjawan 2027 serta perkembangan terkini berkaitan percukaian.
HASiL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seminar yang dilaksanakan secara dalam talian itu berlangsung dalam dua siri, dengan Siri Pertama diadakan pada 14 Oktober lalu, manakala Siri Kedua dijadualkan pada 21 Oktober ini.
“SPK 2026 memberi tumpuan kepada cadangan Belanjawan 2027, perkembangan semasa dan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) e-Invois serta duti setem.
“Penganjuran ini menyediakan ruang kepada pengamal percukaian, golongan profesional dan pembayar cukai untuk mendapatkan penjelasan tentang perkembangan dasar dan perundangan, memahami implikasinya terhadap urusan masing-masing serta membuat persediaan sewajarnya,” kata kenyataan itu.
Dalam ucapan perasmian SPK Siri Pertama, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin menegaskan bahawa sistem percukaian yang cekap, adil dan diyakini merupakan asas penting dalam menyokong pembangunan negara.
Menurut beliau, peranan HASiL bukan sekadar mengutip hasil, malah turut memastikan dasar percukaian dilaksanakan dengan cekap, difahami oleh pembayar cukai dan ditadbir secara berintegriti.
Penganjuran seminar itu juga bertepatan dengan Bulan HASiL 2026 yang dilancarkan pada 1 Oktober lalu bagi memperluas pendidikan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai percukaian.
Sepanjang bulan berkenaan, HASiL mempergiat usaha mempromosikan program pengakuan sukarela, termasuk PKPS e-Invois, PKPS Duti Setem dan pengakuan sukarela cukai pendapatan.
Selain itu, orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan pelarian cukai menerusi saluran rasmi e-Pelarian Cukai bagi membantu meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pematuhan undang-undang percukaian.
Sehubungan itu, HASiL menyeru orang ramai dan pengamal percukaian yang berminat supaya mengambil peluang menyertai SPK 2026 Siri Kedua pada 21 Oktober ini.
Pendaftaran boleh dibuat menerusi portal rasmi seminar di https://heal.hasil.gov.my/.
HASiL juga komited memperluas penyampaian maklumat dan pendidikan percukaian melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan serta badan profesional bagi membantu masyarakat mendapatkan maklumat yang sahih dan memahami tanggungjawab percukaian mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








