HASiL kesan RM1.4 bilion tidak dilapor menerusi semakan e-Invois
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) berjaya mengesan sebanyak RM1.4 billion pendapatan yang tidak dilapor hasil pelaksanaan e-Invois.
Menurut HASiL, ia selepas 17,188 pembayar cukai yang sebelum ini didapati tidak mematuhi pengemukaan borang nyata cukai pendapatan (BNCP) tampil mengemukakannya dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang sebanyak RM1.4 billion yang menyumbang kepada hasil cukai sebanyak RM290 juta.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, HASiL telah mengenal pasti pembayar cukai yang tidak melaporkan pendapatan untuk tindakan penguatkuasaan, sekali gus mengekalkan keadilan terhadap pembayar cukai yang mematuhi perundangan percukaian.
“Lebih 500,000 kes berpotensi telah dikenal pasti menunjukkan corak keupayaan kewangan yang tinggi tetapi tidak sepadan dengan rekod percukaian sedia ada, termasuk tiada rekod pelaporan pendapatan kepada HASiL.
“Melalui pendekatan ini, HASiL telah menjalankan semakan audit dan mengeluarkan peringatan untuk menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan atau kesilapan dalam maklumat percukaian mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, sejak pelaksanaan e-Invois mulai 1 Ogos 2024, sebanyak 184,325 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran sebanyak 979 juta e-Invois secara keseluruhan.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan pembayar cukai termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terhadap pelaksanaan e-Invois sebagai langkah transformasi untuk mendigitalkan operasi perniagaan serta memastikan transaksi direkod atau disimpan secara lebih teratur sama ada di pihak penjual dan pembeli.
“Dengan gabungan pendekatan berasaskan data dan teknologi terkini, HASiL sentiasa memastikan cukai dipungut secara adil dan saksama kepada golongan yang layak, serta berupaya mengesan sebarang ketidakpatuhan.
“Sehubungan dengan itu, HASiL menasihatkan semua pembayar cukai supaya sentiasa memastikan maklumat percukaian yang dikemukakan adalah tepat, lengkap dan terkini bagi mengelakkan penalti yang lebih berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, “katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















