Malaysia undang Presiden Myanmar bincang isu Rohingya
KUALA LUMPUR – Malaysia mengundang Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing ke negara ini dalam usaha memperkukuh rundingan dua hala, khususnya bagi mencari penyelesaian terhadap isu pelarian Rohingya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas Malaysia mengambil pendekatan berunding secara langsung dengan kerajaan Myanmar bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.
“Jadi dua minggu lalu saya beritahu kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jemaah Menteri, saya akan undang Presiden Myanmar melawat Malaysia secara rasmi.
“Saya undang sebab nak bagi tahu kita boleh bersahabat, kita boleh berdagang, kita boleh terima Myanmar, tapi Myanmar mesti terima (kembali pelarian Rohingya).
“Kalau tak boleh secara sekali gus, ambil secara berperingkat dan kita akan bantu menyelesaikan. Ini cara saya untuk menyelesaikannya, bukan setengah orang politik, guna kecaman. Nak ke mana?
“Rakyat kecam saya faham, (sebab) dia susah, dia nak dapat kerja susah. Orang Rohingya tu kadang kasar di luar, dia marah. Tapi kita sebagai pemimpin marah pun buat apa?” katanya ketika menjadi tetamu podcast Sembang OhhYeahh!.
Anwar berkata, proses penghantaran pulang itu turut mengambil kira aspek keselamatan dan kebajikan mereka, termasuk mendapatkan jaminan supaya mereka tidak berdepan ancaman selepas kembali ke Myanmar.
“Lebih baik kita bayar sedikit daripada perlu menanggung sebeban dengan bagi makan ratusan ribu orang di depoh. Orang cadang tangkap, baik lepas tangkap kita nak letak ke mana?
“Letak di depoh, lepas itu siapa yang akan bagi makan? Kita yang bagi makan antara RM25 hingga RM50 sehari, kalau 2,000 orang? Jadi kita tidak boleh tanggung,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata, meskipun pelarian itu dihantar balik, mereka akan diberi jaminan keselamatan supaya tidak dilakukan serangan atau sebarang perkara tidak diingini.
“Kalau dia bawa balik dan bunuh macam dulu, tak boleh juga. Jadi kita runding, kita bukan runding untuk hantar mereka balik sahaja. Kita minta jaminan keselamatan, bagi kawasan selamat, bagi kawasan orang Islam supaya tidak diganggu. Itu yang kita lakukan.
“Dalam pertemuan sebelum ini dengan pemimpin Myanmar saya memang ada katakan, saya nak awak jamin orang-orang ini jangan dibunuh dan diusir, (ia) masalah bagi negara saya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








