BERITA SEMASA

Bank Rakyat serah lebih RM2 juta zakat kepada Tabung Baitulmal Sarawak

KUCHING – Bank Rakyat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah lebih RM2 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bagi tahun kewangan 2025.

Penyerahan zakat itu berlangsung di Astana Negeri Sarawak, hari ini, sempena kunjungan hormat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

steven sim
Steven Sim (dua dari kiri) bersama Dr Wan Junaidi (dua dari kanan) pada majlis tersebut.

Steven Sim berkata, kejayaan sesebuah institusi kewangan bukan hanya perlu diukur berdasarkan prestasi perniagaan, sebaliknya turut dinilai melalui sejauh mana kejayaan itu dapat dikembalikan kepada masyarakat.

“Bila perniagaan berkembang, manfaatnya mesti kembali kepada masyarakat.

“Penyaluran zakat ini mencerminkan bagaimana prestasi perniagaan yang baik boleh diterjemahkan kepada impak sosial yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bank Rakyat atas komitmen berterusan dalam menunaikan tanggungjawab zakat serta menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat di Sarawak.

Sejak 2016 hingga 2025, Bank Rakyat telah menyalurkan sejumlah RM17.4 juta zakat perniagaan kepada Sarawak.

Dalam pada itu, Steven Sim turut berkongsi perkembangan program keusahawanan dan koperasi di Sarawak yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensi di bawah kementerian itu.

Sehingga 31 Ogos lalu, lebih RM800 juta pembiayaan telah disalurkan kepada 32,000 usahawan dan koperasi di Sarawak melalui Bank Rakyat, TEKUN Nasional, SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Sarawak kini mempunyai 77,098 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain 1,212 koperasi dengan lebih 323,000 anggota, sekali gus menunjukkan peranan sektor keusahawanan dan koperasi dalam ekonomi negeri.

Steven Sim berkata, KUSKOP akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan agensi berkaitan bagi memperluas akses pembiayaan, memperkukuh kapasiti perniagaan serta membantu lebih ramai usahawan tempatan berkembang secara mampan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Mohamad Shiblie Abg Sapuan; Ketua Pegawai Kewangan Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria; Ketua Wilayah Sarawak Bank Rakyat, Abdul Azis Rosli dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button