Pesara 68 tahun jadi jutawan kelima Bank Rakyat menerusi Rizq Plus
KUALA LUMPUR – Seorang pesara berusia 68 tahun dari Kajang, Selangor terpilih sebagai jutawan kelima Bank Rakyat menerusi Cabutan Jutawan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus.
Aziz Mohamed menerima hadiah utama itu pada Majlis Raikan Ganjaran #UntukSemua yang diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat, hari ini.
Aziz merupakan jutawan kelima dilahirkan menerusi Cabutan Jutawan Rizq Plus sejak akaun pelaburan berkenaan diperkenalkan pada 2022.

Majlis sama turut meraikan pemenang Cabutan Anggota yang membawa pulang RM100,000 serta pemenang cabutan bulanan bernilai RM20,000.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, Akaun Pelaburan-i Rizq Plus menawarkan keseluruhan hadiah bernilai RM10.8 juta, manakala Kempen Suara Hati 2026 menyediakan hadiah berjumlah lebih RM300,000.
“Setiap hadiah yang disampaikan bukan sekadar satu ganjaran semata-mata, tetapi merupakan tanda penghargaan kami kepada pelanggan yang telah memilih Bank Rakyat sebagai rakan kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, Rizq Plus kini dipilih lebih 250,000 rakyat Malaysia dengan jumlah pelaburan melebihi RM1 bilion.
Katanya, peluang untuk menjadi jutawan seterusnya masih terbuka menerusi Cabutan Jutawan pada Oktober 2026 yang menawarkan hadiah RM1 juta kepada seorang pemenang.
Sementara itu, menerusi Kempen Suara Hati 2026, Awang Ahmad Khadar Awang Zainal, 40, dari Mukah, Sarawak muncul pemenang tempat pertama dan berjaya merealisasikan impiannya memiliki Toyota Fortuner.
Empat lagi pemenang turut menerima hadiah berupa wafer emas seberat 50 gram, 30 gram dan 20 gram serta kelengkapan rumah bernilai RM10,000.

Kempen itu turut memberikan hadiah sagu hati kepada 65 pemenang, masing-masing menerima RM500 yang dikreditkan ke Akaun Pelaburan-i Rizq Plus.
Mohd Irwan berkata, Bank Rakyat mahu lebih ramai rakyat Malaysia membina daya tahan kewangan menerusi langkah mudah, konsisten dan patuh Syariah.
“Rizq Plus merupakan instrumen pelaburan patuh Syariah yang boleh dimulakan dengan serendah RM100 bagi membantu pelanggan membentuk tabiat kewangan yang lebih sihat,” katanya.
Kempen Suara Hati 2026 yang berlangsung dari 19 Februari hingga 30 April lalu berkonsepkan langgan dan menang, dengan penyertaan melibatkan produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Pembiayaan Perumahan-i dan Pembiayaan Pajak Gadai-i.
Beliau berkata, Bank Rakyat akan terus menawarkan penyelesaian kewangan yang relevan, mudah diakses dan memberi nilai kepada seluruh lapisan masyarakat selaras dengan aspirasi #UntukSemua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








