BERITA SEMASA

Gempa susulan boleh berlarutan lama – MET Malaysia

KUALA LUMPUR – Gempa bumi susulan tidak semestinya berakhir dalam tempoh singkat, malah boleh terus berlarutan selama beberapa hari, minggu, bulan atau sehingga bertahun selepas gempa utama berlaku.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, gempa bumi kuat lazimnya diikuti siri gempa susulan di sekitar zon sesar yang sama sebelum pergerakan sesar kembali stabil.

Menurutnya, gempa susulan biasanya berlaku dengan magnitud lebih rendah berbanding gempa utama, namun tempoh kejadiannya bergantung kepada keadaan sesar terbabit.

“Sebagai contoh, gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang berlaku di Mindanao selatan, Filipina pada 8 Jun 2026, masih menghasilkan gempa bumi susulan sehingga ke hari ini,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia turut berpotensi merasai gegaran daripada gempa bumi kuat yang berlaku di Sumatera, Filipina dan Sulawesi, terutama di pantai barat Semenanjung serta bahagian timur Sabah.

Katanya, tahap gegaran yang dirasai di sesuatu kawasan dipengaruhi beberapa faktor termasuk magnitud, jarak dan kedalaman pusat gempa serta keadaan tanah.

“Semakin kuat magnitud gempa, semakin kuat gegaran dirasai di sesuatu tempat, manakala kawasan yang lebih dekat dengan pusat gempa lazimnya mengalami gegaran lebih kuat.

“Kedalaman pusat gempa juga mempengaruhi kekuatan gegaran. Gempa yang lebih cetek, iaitu kurang daripada 100 kilometer, biasanya menghasilkan gegaran yang lebih kuat berbanding gempa yang lebih dalam,” katanya.

Mohd Hisham berkata, jenis batuan dan tanah di sesuatu kawasan turut memainkan peranan, dengan tanah lembut berupaya menguatkan gelombang seismik ketika melalui kawasan berkenaan.

Menurutnya, rekod MET Malaysia menunjukkan beberapa daerah di timur Sabah pernah merasai gegaran susulan gempa bumi yang berlaku di Sulawesi, Indonesia dan Filipina.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kejadian gempa bumi tidak boleh diramal lebih awal dari segi lokasi, kekuatan atau waktu berlakunya.

Sehubungan itu, katanya, MET Malaysia sentiasa memastikan Sistem Amaran Awal Gempa Bumi dan Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi.

“SAATNM beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi memantau sebarang aktiviti gempa bumi serta potensi ancaman tsunami yang boleh memberi kesan kepada negara,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya kekal tenang dan mendapatkan maklumat serta arahan berkaitan gempa bumi atau tsunami hanya melalui saluran rasmi MET Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button