Hujan lebat berterusan di 6 enam negeri sehingga Isnin – MET Malaysia
KUALA LUMPUR – Enam negeri dijangka mengalami hujan berterusan tahap waspada bermula Jumaat ini sehingga Isnin depan.
Dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berkata, negeri yang terlibat ialah Sabah, Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Sarawak.
“Amaran hujan berterusan dijangka berlaku di Sabah mulai Jumaat sehingga Sabtu membabitkan daerah Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Beluran) serta Kudat.
“Ia juga melibatkan seluruh Terengganu manakala Kelantan membabitkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.
“Sementara itu di Pahang pula melibatkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin yang dijangka bermula Sabtu hingga Ahad ini,” kata kenyataan tersebut.
Tambah MET Malaysia di Johor pula, hujan berterusan dijangka berlaku mulai Ahad ini sehingga Isnin depan di daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Bagi Sarawak, amaran cuaca sama dijangka di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Pakan, Meradong, Sibu dan Selangau selain Mukah serta Bintulu bagi tempoh sama,” kata kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, tiada sela masa khusus antara satu episod hujan lebat dengan episod berikutnya namun amaran akan dikeluarkan sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal jika terdapat tanda-tanda cuaca buruk.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







