Mahkamah Rayuan putus rayuan akhir Da’i Syed pada 4 November
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menetapkan 4 November ini bagi memutuskan rayuan akhir pendakwah selebriti Da’i Syed untuk mengetepikan sabitan kesalahan merogol seorang wanita pada 2019.
Perkara itu disahkan peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31.
“Keputusan ditetapkan pada 4 November 2026,” katanya memetik laporan Kosmo! Online selepas prosiding pengurusan kes hari ini.
Sebelum ini, panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid selesai mendengar hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan.
Dalam prosiding pada 3 Ogos lalu, Mohamed Baharudeen bersama seorang lagi peguam, Datuk M Athimulan, berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika mensabitkan Da’i Syed termasuk dalam membuat dapatan bahawa mangsa adalah seorang wanita naif.
Pihak pembelaan berhujah dapatan itu bercanggah dengan keterangan pengadu yang menyatakan dirinya seorang dewasa matang dan mampu menjaga keselamatan diri.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim menafikan hubungan seksual berkenaan berlaku atas dasar kerelaan, sebaliknya menegaskan ia dilakukan tanpa persetujuan mangsa.
Sementara itu, Da’i Syed yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkenaan dibebaskan sementara oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Februari lalu selepas 21 hari dipenjarakan.
Sebelum itu, pada 23 Januari, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadapnya kerana merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang selepas permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman tidak dibenarkan.
Da’i Syed kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 26 Januari bagi memohon penangguhan pelaksanaan hukuman berkenaan.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di Seksyen 7, Shah Alam pada pukul 1.35 pagi, 11 September 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








