Sunway University, CityUHK teroka kerjasama pendidikan, penyelidikan
KUALA LUMPUR – Pusat pengajian swasta, Sunway University dan City University of Hong Kong (CityUHK) berhasrat memperkukuh hubungan akademik menerusi penerokaan kerjasama baharu dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi, termasuk pertukaran pelajar serta ahli akademik dan penyeliaan bersama pengajian PhD.
Kerjasama antara dua IPT berkenaan dibangkitkan ketika kunjungan delegasi CityUHK diketuai Pengerusi Majlisnya, Professor Michael Ngai ke Sunway University dan Sunway Group di Malaysia.
Lawatan berkenaan turut membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk mengenal pasti bidang kerjasama strategik dengan memanfaatkan kepakaran dan kekuatan masing-masing, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan perniagaan.
Kunjungan itu susulan beberapa siri hubungan antara kedua-dua institusi, termasuk kunjungan pengasas dan Pengerusi Sunway Group merangkap pengasas serta Canselor Sunway University, Tan Sri Sir Jeffrey Cheah, ke CityUHK (Dongguan), awal tahun ini.
Antara inisiatif yang diterokai ialah penganjuran persidangan bersama, program mobiliti pelajar dan ahli akademik, penyeliaan bersama pengajian PhD serta kerjasama penyelidikan.
Delegasi CityUHK turut mengadakan pertemuan dengan kepimpinan kanan Sunway University, termasuk Presiden dan Naib Canselor, Professor Sibrandes Poppema; Provost dan Timbalan Naib Canselor, Professor Abhimanyu Veerakumarasivam; serta Pro Naib Canselor (Pendidikan, Kebolehpasaran dan Alumni), Professor Chai Lay-ching.
Selain itu, delegasi berkenaan melawat beberapa fasiliti utama dalam ekosistem Sunway, termasuk Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi, Fakulti Sains Perubatan dan Hayat, Sunway Business School serta Sunway Medical Centre.
Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Global CityUHK, Professor Shirley Chong, turut mempengerusikan bengkel penarafan universiti yang berkongsi pengalaman institusi tersebut dalam membina reputasi global dan perancangan strategik bersama dekan serta ketua jabatan Sunway University.
Kedua-dua institusi turut menyatakan keyakinan terhadap potensi kerjasama lebih erat dan bersetuju meneruskan perbincangan bagi membangunkan inisiatif konkrit untuk memperkukuh pembangunan bakat global, kecemerlangan penyelidikan serta pertukaran pengetahuan.
Lawatan itu menjadi asas kepada usaha membangunkan kerjasama jangka panjang antara CityUHK dan Sunway University dalam pendidikan, penyelidikan serta inovasi di peringkat serantau dan antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
