Kota Setar kekal gelombang haba tahap dua, beberapa daerah lain berjaga-jaga
KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan keadaan cuaca panas di Kota Setar, Kedah masih berada pada Tahap Dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius setakat pagi hari ini.
METMalaysia berkata, lapan kawasan lain pula mencatatkan Tahap Satu (berjaga-jaga) dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
“Kawasan terlibat termasuk seluruh Perlis serta beberapa daerah di Kedah iaitu Kuala Muda, Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap, Sik dan Baling,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, status sama turut direkodkan di beberapa daerah lain termasuk Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Perak; Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang di Kelantan; Maran serta Jerantut di Pahang; selain Segamat di Johor.
Menurut agensi itu, keadaan cuaca panas berkenaan dijangka berterusan sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan status cuaca panas harian melalui saluran rasmi METMalaysia serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kesan kesihatan akibat cuaca panas melampau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








