BERITA SEMASA

MET Malaysia keluar amaran hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora sehingga 8 Januari

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan luruan monsun dijangka berterusan sehingga 8 Januari, sekali gus berpotensi membawa hujan lebat di kawasan timur dan utara Semenanjung Malaysia dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, analisis model ramalan cuaca menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku mulai 5 hingga 8 Januari selain risiko angin kencang serta laut bergelora di Laut China Selatan sepanjang tempoh berkenaan.

“Sehubungan itu, Amaran Hujan Berterusan (Waspada) telah dikeluarkan bagi negeri Kelantan dan Terengganu berkuat kuasa dari 5 hingga 8 Januari manakala bagi negeri Pahang amaran berkenaan berkuat kuasa dari 6 hingga 8 Januari 2026,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Selain itu, MET Malaysia turut mengemas kini Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora yang berkuat kuasa sehingga 6 Januari melibatkan perairan Laut China Selatan termasuk perairan barat Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.

Menurut kenyataan itu, keadaan cuaca berkenaan boleh mendatangkan risiko kepada aktiviti laut, perikanan serta keselamatan orang awam khususnya di kawasan terdedah.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan merujuk maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MET Malaysia dan media sosial rasmi jabatan serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat sahih dan terkini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button