BERITA SEMASA

Syed Saddiq, Bella Astillah bakal disatukan 10 Oktober ini

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi serta pelakon, Bella Astillah bakal melangsungkan perkahwinan pada 10 Oktober depan.

Tarikh bahagia pasangan itu diumumkan menerusi video eksklusif yang disiarkan secara langsung dalam program MeleTOP di Astro Ria, malam ini.

“Saya terhutang budi kepada mereka yang tak putus-putus berdoa. Nikah 10 Oktober, sanding juga pada bulan sama. Akan juga diadakan di Kuala Lumpur, Muar dan Sabah,” kata Syed Saddiq pada program tersebut.

bertunang
Tangkap layar teaser video mengenai lamaran Syed Saddiq terhadap Bella di Gunung Kinabalu.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah ibu bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.

Syed Saddiq berkata, majlis pernikahan mereka dijadual berlangsung di Menara Merdeka Maybank yang merupakan bangunan kedua tertinggi di dunia.

Mengulas persiapan perkahwinan, Syed Saddiq, 33, mengakui mereka hanya mempunyai tempoh kira-kira 100 hari untuk menyiapkan segala urusan berkaitan majlis.

Menurutnya, persiapan hanya dapat dimulakan selepas beliau menyelesaikan kes di Mahkamah Persekutuan pada Julai lalu, menyebabkan pasangan itu perlu bergerak pantas.

“Saya tak sangka Bella boleh buat segala-galanya. Kita sibuk dengan kerjaya masing-masing tetapi dalam kesibukan itu, Bella boleh mikro urus (micromanage) proses penyediaan perkahwinan.

“Bella bekerjasama dengan banyak pihak, bukan setakat untuk satu majlis tetapi beberapa majlis di beberapa lokasi. Jadi semua itu datang serentak, tetapi dia sangat sabar.

“Saya juga perlu mengambil salah dalam bab ini kerana kita hanya boleh bermula proses merancang perkahwinan selepas tamat cabaran saya di Mahkamah Persekutuan pada Julai,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Syed Saddiq menegaskan perkahwinan mereka bukan sekadar penyatuan antara dua individu, sebaliknya turut membabitkan keluarga termasuk anak-anak Bella.

Syed Saddiq dan Bella, 31, mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu dalam satu majlis tertutup yang dihadiri keluarga serta kenalan rapat kedua-dua pihak.

Hubungan pasangan itu mula mendapat perhatian umum selepas mereka bekerjasama dalam beberapa projek, termasuk kempen promosi jenama dan inisiatif amal bagi membantu masyarakat di Muar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button