Bella Astillah beri sokongan moral, sentiasa berada di belakang Syed Saddiq
PUTRAJAYA – Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah terus memberikan sokongan moral kepada tunangnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan penangguhan keputusan rayuan akhir Ahli Parlimen Muar itu di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabella Awang Astillah berkata, beliau akan sentiasa memberikan sokongan padu selain menghormati setiap keputusan serta proses perundangan negara.
“Semoga tabah… Insya-Allah, saya akan sentiasa berada di belakangnya. Kita menghormati mahkamah… ada perkara yang kita tak boleh nak jangkakan. Kita doa yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Baca juga : Hakim cuti sakit, keputusan rayuan akhir Syed Saddiq ditangguh 13 Julai
Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan bekas Menteri Belia dan Sukan itu kepada 13 Julai depan.
Penangguhan itu diumumkan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais selaku pengerusi panel selepas salah seorang hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak dapat menghadiri prosiding kerana bercuti sakit selama dua hari bermula Selasa.
Seorang lagi hakim yang menganggotai panel berkenaan ialah Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Keputusan pada 13 Julai itu akan menentukan sama ada Syed Saddiq, 33, kekal bebas atau diperintahkan menjalani hukuman atas empat pertuduhan iaitu bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Jika rayuan pendakwaan ditolak, keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini akan dikekalkan sekali gus mengekalkan pembebasan beliau, namun
sekiranya rayuan dibenarkan, Syed Saddiq berdepan hukuman berdasarkan sabitan terhadap pertuduhan yang dihadapinya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















