HIBURAN

Bella Astillah, Syed Saddiq cetus tanda tanya selepas tampil busana pengantin

KUALA LUMPUR – Pasangan popular, Bella Astillah, 32, dan Syed Saddiq Abdul Rahman, 34, mencuri perhatian warga maya selepas tampil dalam foto berkonsepkan busana perkahwinan yang disifatkan ramai sebagai sesi pra perkahwinan mereka.

Hantaran foto dan video yang dimuat naik di akaun Instagram (IG) masing-masing dengan kapsyen ‘love story from KL to London’ (kisah cinta dari Kuala Lumpur ke London) itu dipercayai dilakukan bersama sebuah jenama butik pakaian terkenal.

Menerusi hantaran berkenaan, Bella menzahirkan keterujaannya terhadap busana yang digayakan, termasuk rekaan dikenali sebagai ‘Fleurie’.

“Every girl deserves her fairytales moment (Setiap gadis berhak menikmati detik indah umpama kisah dongeng).

“Okay, I’m officially obsessed with the ‘Fleurie’. It’s so flowy, so pretty and honestly giving main princess energy. (Saya benar-benar terpikat dengan ‘Fleurie’ ini. Ia sangat beralun, cantik, dan sejujurnya menyerlahkan aura seorang puteri),” katanya menerusi hantaran tersebut.

Meninjau ruangan komen, rata-rata pengikut Bella dan Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar, mendoakan agar segala urusan serta persiapan menuju alam perkahwinan mereka dipermudahkan.

Sebelum ini, spekulasi mengenai tarikh pernikahan pasangan berkenaan mula hangat diperkatakan di media sosial, terutama selepas Bella dan Syed Saddiq berkunjung ke pejabat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.

Walaupun tujuan kunjungan itu tidak didedahkan, tindakan tersebut mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan netizen yang menyangka pasangan itu hadir bagi menyerahkan kad undangan perkahwinan yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Malah, terdapat segelintir warga maya membuat andaian bahawa pasangan itu mungkin memilih Sabtu, 8 Ogos depan sebagai tarikh pernikahan, berdasarkan kombinasi nombor cantik ‘8.8.26’.

Sebelum ini, Syed Saddiq difahamkan mengesahkan kepada media bahawa tarikh pernikahannya bersama Bella Astillah sudah dipersetujui kedua-dua keluarga, namun belum bersedia untuk mengumumkannya kepada umum.

Pada masa sama, beliau juga dilaporkan tidak menolak kemungkinan majlis perkahwinan berkenaan dipercepatkan berbanding perancangan asal yang dijadualkan pada hujung tahun.

Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Bella yang juga ibu tunggal pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan pelakon asal Singapura, Aliff Aziz pada 2016, sebelum bercerai kali pertama pada 2019 dan kembali rujuk dalam tempoh idah.

Bagaimanapun, pasangan itu sah bercerai kali kedua pada 13 Jun 2024 dan hasil perkahwinan tersebut dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button