Esok penentu nasib Syed Saddiq: Mahkamah Persekutuan putus rayuan akhir kes dana ARMADA
PUTRAJAYA – Nasib Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada kekal dibebaskan atau disabitkan semula atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) akan diketahui esok apabila Mahkamah Persekutuan, di sini membuat keputusan muktamad terhadap rayuan pihak pendakwaan.
Keputusan itu akan dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum ini.
Pihak pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin; Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Syed Saddiq, 33, diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.
Sebelum ini, pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuan mengandungi 28 alasan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan bekas Menteri Belia dan Sukan itu, serta memohon agar sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi dikembalikan.
Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan membabitkan kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.
Dalam penghakiman terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid menyifatkan pembelaan Syed Saddiq sebagai tidak munasabah sebelum mensabitkan beliau atas semua pertuduhan.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan selesai.
Mahkamah Rayuan kemudian memutuskan bahawa tindakan mengarahkan seseorang mengeluarkan wang tidak semestinya boleh ditafsirkan sebagai pelupusan dana, sekali gus membebaskan ahli politik itu daripada semua pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan wang RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana tersebut di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Beliau turut didakwa menyalahgunakan harta dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise di sebuah cawangan bank di Taman Pandan Jaya antara 8 hingga 21 April 2018.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebatan dan denda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram apabila didakwa memindahkan wang masing-masing berjumlah RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera, yang didakwa merupakan hasil aktiviti haram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Bagi pertuduhan tersebut, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram jika disabitkan kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















