Bella Astillah, Syed Saddiq bakal bertunang petang ini, lamaran di puncak Kinabalu
KUALA LUMPUR – Pasangan popular, Bella Astillah dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal melangsungkan pertunangan pada petang ini, sekali gus mengakhiri teka-teki mengenai hubungan mereka yang menjadi perhatian ramai.
Perkhabaran itu disertakan dengan sebuah video yang dimuat naik menerusi saluran WhatsApp Astro Awani, memaparkan detik romantik Syed Saddiq melamar Bella.
Dalam rakaman tersebut, Ahli Parlimen Muar itu meluahkan hasratnya dengan kata-kata, “It is the imperfections, which make this matter even more. Will you marry me?” sebelum Bella menjawab ringkas, “Yes.”
Lebih menarik, lamaran itu dipercayai telah dilakukan lebih awal ketika pasangan tersebut mendaki Gunung Kinabalu pada Januari lalu.

Momen istimewa itu turut memperlihatkan Syed Saddiq mengenakan baju Melayu berwarna ungu sedondon dengan Bella, menambahkan lagi suasana romantik dalam suasana alam semula jadi.
Video sama turut memaparkan pasangan yang dikenali peminat sebagai ‘BASS’ itu berlari di tepi pantai, melambangkan detik bahagia yang bakal mereka lalui bersama.
Terdahulu, khabar gembira itu turut dikongsikan Syed Saddiq menerusi satu hantaran di Instagram miliknya dengan kapsyen ringkas namun penuh makna: “I asked, she said yes. Ini bukan pengakhiran cerita, ini permulaan kita.”
Menurut Syed Saddiq, detik lamaran berkenaan berlaku dalam suasana mencabar di puncak gunung tertinggi negara, namun tetap menjadi antara kenangan paling berharga dalam hidupnya.
“Proposal di atas Gunung Kinabalu masa hujan lebat,” katanya.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah sebelum ini dikenali sebagai penyanyi dan pelakon yang mula mencipta nama dalam industri hiburan tanah air sejak usia muda.
Kehidupan peribadinya pernah menjadi perhatian apabila melalui episod rumah tangga yang mencabar sebelum ini bersama penyanyi dan juga pelakon dari Singapura, Aliff Aziz.
Bella dan Aliff sah bercerai kali kedua pada 13 Jun 2024 susulan kemelut rumah tangga dan isu khalwat bekas suaminya.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5.
Sementara itu, Syed Saddiq pula merupakan figura politik muda yang mencuri perhatian sejak menjadi antara pemimpin generasi baharu di Malaysia, selain pernah memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan.
Hubungan mereka mula menjadi bualan hangat apabila sering dilihat bersama dalam beberapa acara dan perkongsian di media sosial, sekali gus menarik minat peminat yang mengikuti perkembangan rapat pasangan ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








