BERITA SEMASA

Syed Saddiq tamatkan Larian Kesyukuran 170km, disambut ribuan warga Muar

MUAR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menamatkan Larian Kesyukuran sejauh 170 kilometer (km) di Laman Maharani, di sini pagi tadi.

Beliau tiba di garisan penamat kira-kira pukul 9.15 pagi selepas mengharungi larian selama empat hari yang bermula dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya pada 16 Julai lalu.

Ketibaan Syed Saddiq disambut ribuan penduduk yang setia menunggu sejak pukul 8 pagi, dengan laungan ‘Hidup Muar’ dan ‘Tahniah YB’ bergema sebaik beliau menghampiri lokasi penamat, memetik laporan Metro Online.

Pada hari terakhir, Ahli Parlimen itu memulakan larian dari Simpang Sungai Rambai pada pukul 7 pagi sebelum menamatkan baki perjalanan sejauh kira-kira 17km dalam tempoh lebih dua jam.

Suasana di Laman Maharani bertambah meriah apabila orang ramai bersorak sebaik melihat kelibat Syed Saddiq yang mengenakan pakaian serba hitam merentasi Jambatan Sultan Ismail menuju ke garisan penamat.

Beliau turut ditemani beberapa kumpulan pelari, termasuk komuniti Muo Runner yang mengiringinya pada hari terakhir misi berkenaan.

Larian Kesyukuran itu merentasi tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sebagai simbolik tanda kesyukuran selepas melalui perjuangan panjang bagi membersihkan nama serta maruahnya.

Selain membawa mesej kesyukuran, program berkenaan turut bertujuan mengumpul dana kebajikan untuk membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar.

Menurut Syed Saddiq sebelum ini, hasil kutipan dana akan disalurkan kepada dua inisiatif utama iaitu penyediaan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan serta pembelian iPad bagi membantu pelajar kurang berkemampuan mendapatkan akses kepada peranti pembelajaran.

Setakat semalam, kempen kutipan dana menerusi larian tersebut berjaya mengumpulkan RM361,848 dalam tempoh dua hari, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak RM200,000.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button