BERITA SEMASA

MPT nafi dakwaan tiga gajah Taiping didera di zoo Jepun

TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menafikan dakwaan pengabaian dan penderaan terhadap tiga gajah, Dara, Amoi dan Kelat yang dipindahkan ke Zoo Tennoji, Jepun, sambil menegaskan haiwan berkenaan berada dalam keadaan sihat.

Presidennya, Mohamed Akmal Dahalan berkata, laporan terkini pihak zoo dan penilaian MPT mendapati ketiga-tiga gajah itu aktif serta berada dalam keadaan memuaskan sejak tiba di Jepun pada Mac lalu.

“Dara, Amoi dan Kelat juga telah ditempatkan bersama semula sejak 20 September lalu, selain diberikan akses tanpa sekatan ke kawasan pameran dan kandang malam,” memetik NST online.

Menurutnya, tingkah laku menghayunkan kepala yang tular di media sosial tidak semestinya menunjukkan tekanan atau gangguan emosi, sebaliknya mungkin berkaitan tindak balas haiwan ketika menjangkakan makanan.

Mengulas keadaan Kelat yang mengalami fasa musth, iaitu keadaan semula jadi gajah jantan matang yang dicirikan peningkatan hormon testosteron.

Akmal berkata, gajah itu melalui fasa berkenaan sebanyak dua kali sejak tiba di Jepun, masing-masing pada Mei dan September lalu.

Beliau mengakui Kelat mengalami penurunan berat badan ketika kedua-dua fasa itu, namun beratnya kembali meningkat dan menghampiri paras sebelum episod kedua pada September lalu.

Akmal turut menafikan dakwaan Kelat disuntik hormon bagi meningkatkan kekerapan fasa musth, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak benar.

“etiga-tiga gajah diberikan diet seimbang mengikut keperluan pemakanan masing-masing serta dipantau pegawai veterinar, selain mengikuti program pengayaan bagi menyokong kesejahteraan fizikal dan mental.

“Sejak tiba di Jepun, Kelat mencatat pertambahan berat badan sebanyak 580 kilogram, Dara sebanyak 575 kilogram, manakala Amoi 405 kilogram.

“Pertambahan berat badan ini menunjukkan pengambilan makanan dan tahap kesihatan mereka berada pada tahap memuaskan,” katanya.

Akmal berkata, MPT akan terus memantau kesihatan dan kebajikan ketiga-tiga gajah berkenaan serta menyalurkan maklumat tepat kepada orang ramai, sambil menggesa masyarakat memastikan dakwaan berkaitan kebajikan haiwan disokong maklumat sahih dan penilaian profesional.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button