Hotel di Jepun syaratkan pelancong Israel tandatangan akuan tidak terlibat jenayah perang
KYOTO – Sebuah hotel di Kyoto mencetuskan kontroversi apabila meminta pelancong dari Israel menandatangani satu pengisytiharan bagi menyatakan mereka tidak pernah terlibat dalam jenayah perang sepanjang perkhidmatan ketenteraan mereka, sebelum dibenarkan mendaftar masuk.
Insiden tersebut berlaku apabila seorang pelancong Israel menunjukkan pasportnya di kaunter pendaftaran hotel berkenaan.
Susulan itu, seorang kakitangan hotel telah menyerahkan satu borang pengisytiharan dan memaklumkan bahawa tandatangan adalah syarat wajib untuk membolehkan penginapan, menurut laporan Ynetnews yang dipetik oleh Anadolu Ajansi (AA).
Pelancong yang merupakan bekas paramedik simpanan Tentera Laut Israel, pada mulanya enggan menurunkan tandatangan, namun beliau akhirnya akur selepas diberitahu bahawa semua tetamu dari Israel dan Rusia dikenakan syarat yang sama.
Menerusi kandungan borang berkenaan, tetamu dikehendaki mengisytiharkan bahawa mereka tidak pernah melakukan jenayah perang, termasuk serangan terhadap orang awam, keganasan seksual, penyeksaan atau apa-apa tindakan yang melanggar Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Selain itu, dokumen itu turut memerlukan tetamu berikrar mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan tidak akan terlibat dalam sebarang jenayah perang pada masa hadapan.
Tindakan hotel tersebut menerima kecaman daripada Duta Israel ke Jepun, Gilad Cohen, yang menyifatkannya sebagai tidak boleh diterima dan telah menghantar surat protes rasmi kepada Gabenor Kyoto, Takatoshi Nishiwaki.
Bagaimanapun, pihak pengurusan hotel mempertahankan pendirian mereka.
Dalam kenyataan kepada Ynetnews, pengurus hotel menyatakan bahawa langkah itu adalah wajar dan berasaskan prinsip kemanusiaan.
“Bagi kami, perang adalah sesuatu yang jauh daripada kehidupan seharian. Kami tidak pernah bertemu individu yang membunuh wanita dan kanak-kanak atau mengebom sekolah,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Untuk rekod, kejadian seperti itu turut dilaporkan berlaku di sebuah lagi hotel di Kyoto pada Jun tahun lalu.
Tiada rakyat Malaysia yang melancong ke Jepun secara DIY atau menerusi pakej ke Jepun dari agensi pelancongan terlibat dalam insiden ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








