
Semua pihak terlibat di Timur Tengah perlu tamatkan pertelingkahan – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Malaysia berpendirian bahawa semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut.
“Sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera,” kata Anwar dalam satu hantaran di akaun X miliknya, hari ini.
Kata Anwar, beliau telah mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu selain pegawai tertinggi Kerajaan bagi membincangkan situasi terkini di rantau Timur Tengah melibatkan Republik Islam Iran dengan Israel.
Serangan yang dilancarkan Iran merupakan tindak balas yang berpunca dari serangan biadab rejim zionis Israel ke atas kedutaan Iran di Damascus, Syria pada 1 April lalu, yang merupakan satu pelanggaran yang nyata terhadap hukum dan undang-undang antarabangsa.
“Kerajaan kini sedang memantau rapat perkembangan tersebut dan juga kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia dan Kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara.
“Kerajaan juga mengambilkira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Walaupun ketegangan di Timur Tengah semakin memuncak, Anwar berkata, sokongan Malaysia terhadap Palestin tetap tidak akan berganjak.
“Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut ini. Sekarang adalah ketikanya untuk semua pihak memainkan peranan dalam mendesak untuk menamatkan ketegangan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








