Pemuda 23 tahun dipercayai dalang sindiket penipuan ditahan di Kluang
KLUANG – Satu serbuan ke atas sebuah rumah di daerah ini membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai menjadi dalang utama satu sindiket penipuan dalam talian.
Serbuan tersebut yang dilakukan hasil maklumat awam dan laporan dijalankan oleh pasukan gabungan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, serbuan yang dijalankan pada Selasa lalu menemukan pelbagai barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan, termasuk 30 telefon bimbit, 12 kad Touch ‘n Go, mesin mengira wang serta wang tunai berjumlah RM82,571.
Turut dirampas seutas rantai emas dan lima keping jongkong emas dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM200,000.
“Siasatan awal mendapati suspek mengeluarkan wang hasil aktiviti penipuan melalui mesin ATM menggunakan kad debit dan kad Touch ‘n Go,” katanya dalam kenyataan.
Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam hingga Sabtu bagi membantu siasatan.
Bahrin berkata, pihaknya masih meneliti sama ada suspek mempunyai rangkaian lain yang turut terbabit dalam kegiatan penipuan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 424A/420 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket penipuan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Kluang di talian 07-7784222 (hotline) atau 07-7784256 / 014-365682.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








