LUAR NEGARA

Israel tegas halang flotila bantuan ke Gaza, tuduh Hamas terlibat

BAITULMAQDIS – Israel bertegas tidak akan membenarkan flotila bantuan kemanusiaan yang dikenali sebagai Global Sumud Flotilla menembusi sekatan laut yang dikawalnya ke atas Gaza, sambil mendakwa misi tersebut dikendalikan oleh Hamas untuk kepentingan kumpulan pejuang itu.

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Luar Israel semalam, flotila itu tidak dibenarkan masuk ke zon pertempuran aktif dan sebarang pelanggaran sekatan laut ‘yang sah’ akan dihalang.

“Kapal-kapal itu dibenarkan berlabuh di Ashkelon dan bantuan akan dipunggah di situ sebelum disalurkan ke Gaza secara berkoordinasi sekiranya misi flotila itu benar-benar bertujuan kemanusiaan, bukan ‘kepentingan Hamas’,” katanya.

Beberapa laporan antarabangsa sebelum ini termasuk dari Al Jazeera menyatakan flotila tersebut telah mengalami beberapa serangan dron di pelabuhan Tunisia sebelum berlepas.

Global Sumud Flotilla membawa aktivis dari lebih 40 negara termasuk aktivis iklim terkenal Sweden, Greta Thunberg yang berlayar dari Tunisia awal bulan ini selepas beberapa kali tertangguh.

Flotila itu bertujuan menembusi sekatan Israel dan menghantar bantuan ke wilayah Gaza.

Dalam laporan Al Jazeera, salah seorang aktivis flotila menyatakan mereka tetap bertekad untuk meneruskan misi itu meskipun menghadapi cabaran termasuk serangan dron dan tuduhan dari Israel bahawa flotila cuba melanggar sekatan laut.

Sebelum berlepas, kapal utama flotila, Family Boat dilaporkan mengalami kebakaran akibat serangan dron di pelabuhan Sidi Bou Said, Tunisia, tetapi tiada mangsa cedera.

Pihak berkuasa Tunisia pula menafikan serangan dron itu, menyatakan kemungkinan kebakaran berpunca dari dalam kapal.

Israel sebelum ini juga pernah menyekat dua cubaan aktivis memasuki Gaza melalui laut pada Jun dan Julai lalu.

Laporan antarabangsa menekankan bahawa flotila itu menjadi tumpuan dunia kerana menggabungkan misi kemanusiaan dan aktivis politik serta mencetuskan ketegangan berterusan antara Israel dan kumpulan pro-Palestin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button