BERITA SEMASALUAR NEGARA

Pemimpin Islam seluruh dunia digesa kutuk kekejaman Israel – IAIS

KUALA LUMPUR – Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS Malaysia) hari ini menggesa semua pemimpin Islam, ulama dan institusi agama di seluruh dunia supaya segera bangkit mengecam kekejaman berterusan rejim Zionis di Palestin yang disifatkan sebagai jenayah genosid dan pencabulan terang-terangan terhadap Masjid Al-Aqsa.

Pengerusi IAIS Malaysia, Dr Maszlee Malik berkata, sejak Oktober 2023, tentera Israel bukan sahaja meneruskan kepungan dan pengeboman ke atas Gaza, malah kini secara jelas menggunakan kelaparan sebagai senjata perang terhadap lebih dua juta penduduk Palestin.

“Krisis ini bukan semata-mata bencana kemanusiaan tetapi satu genosid yang dirancang. Laporan antarabangsa menunjukkan hampir 93 peratus penduduk Gaza kini mengalami krisis kekurangan makanan, manakala hampir 500,000 orang berada pada tahap bencana.

“Malah, sekurang-kurangnya 66 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kebuluran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, selain kebuluran, kesihatan awam di Gaza kini lumpuh sepenuhnya susulan sekatan bantuan kemanusiaan, manakala serangan terbaharu rejim Zionis terhadap Masjid Al-Aqsa pada 3 Ogos lalu turut menambahkan ketegangan.

“Tindakan Menteri Pelampau Israel, Itamar Ben-Gvir yang menceroboh Masjid Al-Aqsa sambil melakukan ritual Talmudik, menyanyi dan menari dengan kawalan ketat polis Israel adalah pencabulan terang-terangan terhadap kesucian masjid dan hak umat Islam Palestin,” tegasnya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa perintah Allah dalam Surah An-Nisa ayat 135 dan hadis Rasulullah SAW menyeru umat Islam agar bangkit menentang kezaliman, bukan berdiam diri atau mengambil sikap berkecuali.

“Konvensyen Geneva Keempat juga dengan jelas melarang kuasa pendudukan daripada menggunakan kelaparan sebagai senjata atau mencemari tempat ibadah.

“Tindakan Israel ini bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah bertentangan dengan prinsip syariah dan kemanusiaan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, IAIS menyeru semua pemimpin Islam, ulama dan institusi agama agar tidak berkompromi atau meraih keuntungan daripada penderitaan rakyat Palestin.

“Jangan ada individu atau organisasi termasuk umat Islam sendiri yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dari penderitaan rakyat Palestin. Itu satu keaiban besar dan bertentangan dengan etika Islam,” katanya lagi.

Beliau turut mencadangkan agar institusi Islam segera mengeluarkan fatwa yang mengutuk kepimpinan rejim Zionis dan mewajibkan penarikan pelaburan dari syarikat-syarikat yang terbukti terlibat secara langsung atau tidak langsung menyokong jenayah kemanusiaan di Palestin.

Katanya, institusi Islam juga perlu menyokong usaha undang-undang antarabangsa termasuk sekatan ekonomi, pembekuan aset, larangan perjalanan serta menyokong siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap jenayah perang dan genosid yang dilakukan.

“Jangan kita lupa, mangsa sebenar adalah rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, wanita mengandung, warga emas serta jemaah di Masjid Al-Aqsa yang menjadi sasaran pembunuhan, kebuluran dan pencabulan spiritual.

“Al-Aqsa bukan sekadar simbol ia adalah jantung umat Islam. Kanak-kanak yang kelaparan di Gaza bukan kerosakan sampingan mereka adalah jiwa suci yang sedang diseksa oleh dasar penjajahan. Dan taktik Israel bukan lagi sekadar serangan ia adalah genosid yang sistematik,” katanya lagi.

Maszlee turut memanjatkan doa agar para pemimpin dan ulama Islam terus dibimbing Allah untuk mempertahankan kebenaran dan menegakkan keadilan.

“Ya Allah, pimpinlah pemimpin dan ulama kami untuk mempertahankan yang tertindas, menegur kuasa dengan kebenaran dan melindungi kesucian agama tanpa kompromi,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button