BERITA SEMASA

12 rakyat Malaysia sah ditahan Israel, namun keadaan Ardell Aryana dan Razali Awang belum dapat dipastikan – Sany Arabi

SEPANG – Seramai 201 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) daripada 497 orang, termasuk 12 rakyat Malaysia, disahkan telah ditahan tentera Israel setakat tengah hari tadi.

Maklumat terbaharu yang dikongsikan Sumud Nusantara di SNCC, pagi ini.

Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) dalam sidang akhbar di sini memaklumkan, antara yang ditahan ialah tujuh lelaki dan lima wanita dari Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Halim berkata, selain itu terdapat dua rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi selepas kapal yang mereka naiki diserang tentera Israel.

“Mereka ialah Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana) dan Razali Awang. Lokasi dan keadaan mereka masih belum dapat dipastikan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, sembilan lagi rakyat Malaysia dilaporkan selamat dan masih belum dipintas oleh rejim Israel. Mereka kini berada di atas kapal Free Willy, Fair Lady dan Estrella yang sedang meneruskan pelayaran menuju Gaza.

“Kapal Free Willy dinaiki Muhd Haikal Luqman Zulkefli, Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs) dan Taufiq Mohd Razif.

“Kapal Estrella pula membawa Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat), Norhelmi Ab Ghani, Norazman Ishak dan Mohd Asmawi Mukhtar.

“Sementara itu, kapal Fair Lady dinaiki Muhammad Abdullah (Ustaz Muhammad Kechik) dan Zainal Rashid Ahmad (ZRA),” jelasnya lagi.

Tambah beliau, sebuah kapal turut diarah tentera Israel untuk tidak meneruskan pelayaran ke Gaza, namun kapal-kapal lain dilaporkan masih berusaha menamatkan misi bantuan kemanusiaan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button