BERITA SEMASALUAR NEGARA

Israel didesak buka lebih banyak pintu sempadan Gaza untuk bantuan kemanusiaan masuk

GAZA – Agensi bantuan antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Israel supaya membuka lebih banyak pintu sempadan ke Gaza bagi membolehkan ribuan lori bantuan memasuki wilayah yang musnah akibat konflik berpanjangan.

Menurut PBB, keutamaan kini diberikan kepada pembukaan semula lintasan Rafah di selatan Gaza, yang dijangka membenarkan konvoi bantuan pertama menyeberang dari Mesir semalam iaitu kali pertama sejak Mei tahun lalu.

Namun, badan kemanusiaan turut menuntut pintu masuk ke utara Gaza dibuka segera bagi membolehkan bekalan penting seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan perubatan sampai kepada ratusan ribu penduduk Palestin yang kini kembali ke kawasan kediaman mereka yang musnah.

Penyelaras bantuan kemanusiaan tertinggi PBB, Tom Fletcher menegaskan bahawa Israel perlu memudahkan kemasukan “gelombang besar bantuan kemanusiaan” yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza.

“Kami perlukan lebih banyak lintasan dibuka serta pendekatan praktikal bagi mengatasi halangan sedia ada. Menahan bantuan kepada orang awam bukanlah alat tawar-menawar malah bantuan adalah satu kewajipan undang-undang,” katanya.

Menurut agensi bantuan, ribuan tan bekalan kemanusiaan termasuk makanan dan ubat-ubatan kini tersadai di Mesir dan beberapa lokasi lain di rantau itu, menunggu kebenaran untuk dibawa masuk ke Gaza.

“Kami mempunyai bekalan, kepakaran dan keupayaan… yang kami perlukan hanyalah akses,” kata seorang petugas bantuan antarabangsa yang baru pulang dari Gaza.

Sementara itu, gencatan senjata rapuh di Gaza kini berdepan ujian apabila Israel menuduh Hamas melanggar perjanjian yang ditandatangani minggu lalu dengan menangguhkan pemulangan mayat tebusan.

Sebagai tindak balas, Israel mengurangkan jumlah lori bantuan yang dibenarkan memasuki Gaza kepada 300 buah sahaja, iaitu separuh daripada jumlah yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata, serta menangguhkan pembukaan semula lintasan Rafah.

Beberapa jam kemudian, Hamas menyerahkan tiga lagi mayat tebusan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), menjadikan lapan mayat telah diserahkan sejak gencatan senjata yang dipersetujui dengan pengantaraan Amerika Syarikat berkuat kuasa, manakala 21 lagi masih belum dijumpai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button