BERITA SEMASALUAR NEGARA

United Kingdom iktiraf Palestin, tingkat tekanan global ke atas Israel

LONDON – United Kingdom (UK) mencatat sejarah apabila secara rasmi mengiktiraf negara Palestin sekali gus menambah tekanan antarabangsa terhadap Israel di tengah-tengah konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.

Perdana Menteri, Keir Starmer mengumumkan perkara itu menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi satu kenyataan video malam tadi.

“Dalam menghadapi keganasan yang semakin memuncak di rantau Asia Barat, kami bertindak untuk memastikan potensi keamanan dan penyelesaian dua negara terus hidup,” katanya.

Starmer menegaskan pengiktirafan tersebut adalah untuk menjamin kewujudan Israel yang selamat dan stabil, seiring dengan penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaya maju.

“Pada masa ini, kita tidak mempunyai kedua-duanya,” tambah beliau.

Julai lalu, Starmer sudah pun memberi isyarat bahawa UK akan mengiktiraf Palestin pada bulan ini sekiranya Israel gagal mengambil ‘langkah-langkah substantif’.

Pengumuman itu menyusul selepas tekanan meningkat terhadap kerajaan Britain, sementara Australia dan Kanada turut mengumumkan pengiktirafan rasmi negara Palestin awal semalam.

Sebelum ini, Perancis, Luxembourg dan Malta juga menyatakan rancangan mereka untuk mengiktiraf Palestin di Perhimpunan Agung PBB.

Menteri Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin berkata, pengiktirafan terhadap sebuah negara Palestin akan menghantar mesej yang penting.

“Yang paling utama, ia adalah mesej harapan kepada rakyat Palestin, mesej harapan untuk sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat,” katanya pada sidang media di Ramallah, Tebing Barat semalam.

Beliau menambah, langkah itu juga membawa makna bahawa ‘Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas wilayah negara kami.’

Sementara itu, kerajaan Israel mengecam langkah Britain itu dengan melabelkannya sebagai ‘tidak masuk akal’ manakala Amerika Syarikat pula tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button