LUAR NEGARA

Hamas nafi sedia letak senjata, kecam lawatan utusan khas AS ke Gaza

GAZA – Hamas menafikan dakwaan pihaknya sedia melucutkan senjata dalam rundingan bersama Israel sambil menegaskan mereka mempunyai hak nasional dan sah dari segi undang-undang untuk terus menentang penjajahan Israel selagi hak rakyat Palestin belum dikembalikan sepenuhnya.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan oleh utusan khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah, Steve Witkoff, dalam pertemuan bersama keluarga tahanan Israel di Tel Aviv, semalam.

Menurut laporan media Israel, Witkoff mendakwa Hamas menyatakan kesediaan untuk meletak senjata dalam perbincangan rundingan gencatan senjata.

Bagaimanapun, Hamas dalam satu kenyataan balas menegaskan dakwaan tersebut tidak benar dan bertujuan mengelirukan masyarakat antarabangsa.

“Perjuangan bersenjata adalah hak nasional dan sah dari segi undang-undang selagi penjajahan Israel terhadap bumi Palestin masih berterusan.

“Perjuangan ini tidak akan dihentikan sehingga semua hak kebangsaan kami dikembalikan, termasuklah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka sepenuhnya dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara,” katanya memetik laporan Al-Jazeera.

Dalam masa sama, Hamas turut mengecam lawatan Witkoff ke Gaza yang disifatkan sebagai “sandiwara terancang” bagi memberikan gambaran palsu terhadap keadaan sebenar di wilayah terbabit.

Lawatan Witkoff turut membawa beliau ke sebuah pusat agihan bantuan kemanusiaan yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF), yang sebelum ini dikritik hebat kerana dikatakan terlibat dalam kegagalan pengurusan bantuan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 1,300 rakyat Palestin telah terkorban ketika cuba mendapatkan bantuan makanan daripada tapak pengagihan GHF sejak Mei lalu.

Namun, pentadbiran Donald Trump terus menyokong pertubuhan tersebut meskipun berdepan kecaman antarabangsa, malah meluluskan bantuan sebanyak AS$30 juta kepada GHF pada Jun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, usaha mengiktiraf negara Palestin semakin mendapat sokongan antarabangsa susulan krisis kebuluran yang berlarutan di Gaza.

Minggu ini, United Kingdom mengumumkan hasrat untuk mengikuti langkah Perancis dalam mengiktiraf negara Palestin pada September ini sekiranya Israel gagal melaksanakan gencatan senjata.

Menteri Luar Britain, David Lammy berkata, pengiktirafan itu akan dipertimbangkan sekiranya syarat tertentu dipenuhi termasuk pemberhentian serangan di Gaza.

“Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York turut menyaksikan 17 buah negara, Kesatuan Eropah dan Liga Arab menyokong teks cadangan yang menggesa penyelesaian dua negara,” katanya lagi.

Teks itu turut menuntut agar Hamas menghentikan pentadbiran di Gaza dan menyerahkan senjata kepada Pihak Berkuasa Palestin dengan sokongan antarabangsa ke arah pembentukan negara Palestin yang berdaulat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button