BERITA SEMASALUAR NEGARA

Hamas nafi kehilangan Khalil al-Hayya, gelar Israel pengecut

DOHA – Hamas menafikan dakwaan Israel berjaya dalam serangan mensasarkan pemimpin kanan pergerakan itu,
Khalil al-Hayya, yang merupakan individu penting dalam usaha rundingan gencatan senjata dengan Israel-Hamas.

Hamas dalam kenyataannya mendakwa kepimpinan tertingginya yang tinggal di luar Gaza itu terselamat dalam serangan udara semalam.

Bagaimanapun, enam individu dilaporkan terbunuh dalam serangan itu, termasuk anak kepada Khalil al-Hayya dan seorang anggota pasukan keselamatan Qatar dan Humam al-Hayya.

Turut terkorban ialah pengarah pejabat Khalil, Jihad Labad Abu Bilal, bersama tiga pengawal peribadinya.

Menurut Hamas, serangan berlaku ketika rundingan gencatan senjata sedang berlangsung, sekali gus mencetuskan kecaman keras kerajaan Qatar yang menyifatkan tindakan Israel sebagai ‘pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa’ dan ‘serangan pengecut’.

Israel mendakwa operasi itu menyasarkan pemimpin Hamas yang terbabit dalam serangan berdarah pada 7 Oktober 2023 dan menyifatkan ia satu tindakan ketenteraan yang tepat.

Susulan serangan itu, Qatar yang selama ini bertindak sebagai perantara utama rundingan Israel-Hamas, menggantung semua usaha diplomatik dengan Israel.

Menteri Luar negara itu turut menegaskan bahawa tindakan Israel tersebut sebagai mengancam keselamatan dan kestabilan serantau.

Kecaman turut disuarakan di peringkat antarabangsa apabila Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres yang mengutuk keras serangan Israel serta menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan demi mencari jalan damai yang berkekalan.

Penganalisis menjangkakan serangan berkenaan bakal merumitkan lagi usaha gencatan senjata di Gaza dan menambah ketegangan geopolitik di Teluk.

Hamas bagaimanapun menegaskan kehilangan beberapa anggota tidak akan melemahkan perjuangan mereka, sebaliknya kepimpinan tetap utuh untuk terus memperjuangkan hak rakyat Palestin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button