Dua anggota Cawangan Khas dakwa dikasari Ketua Pengarah AKPS di KLIA, nafi jadi ‘ulat’ – peguam
KUALA LUMPUR – Dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Cawangan Khas mendakwa mereka dikasari secara fizikal oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Suhaily Mohd Zain ketika menjalankan tugasan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Menurut kenyataan firma peguam Kamal Hisham dan Associates yang mewakili kedua-dua anggota terbabit, Muhammad Ekmal Sofwan Driman dan Mohammad Faiz Muhamad, kejadian berlaku di tempat awam dan menyebabkan mereka mengalami kecederaan.
Firma guaman itu berkata, insiden berkenaan turut menjejaskan maruah serta imej kedua-dua anggota berkenaan sebagai penjawat awam yang sedang menjalankan tugas rasmi.
“Perlu ditegaskan bahawa AKPS bukan merupakan sebahagian daripada PDRM dan kedua-dua agensi tersebut mempunyai fungsi serta bidang kuasa yang berbeza,” menurutnya dalam kenyataan itu.
Firma berkenaan turut menafikan dakwaan bahawa anak guam mereka bertindak sebagai “ulat” atau terbabit dalam sebarang “kaunter setting”.
Menurutnya, sebarang dakwaan sedemikian perlu disokong dengan bukti dan tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada isu utama berhubung dakwaan kekerasan terhadap kedua-dua anggota PDRM terbabit.
Firma itu berkata, berdasarkan fakta dan keterangan yang sedang dikemukakan kepada pihak berkuasa, kejadian berkenaan berpotensi melibatkan peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan berkaitan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan berkaitan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Bagaimanapun, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh serta menentukan sebarang kesalahan berdasarkan bukti dan fakta yang diperoleh.
Dalam pada itu, firma itu turut menyeru supaya siasatan dijalankan dengan segera dan telus, selain tindakan undang-undang sewajarnya diambil berdasarkan hasil siasatan.
Firma itu turut meminta semua pihak mengelakkan kenyataan awam yang boleh menjejaskan atau mempengaruhi proses siasatan.
“Kedua-dua anak guam kami menegaskan bahawa mereka sedang menjalankan tugas rasmi pada ketika kejadian dan berhak mendapat perlindungan serta keadilan di sisi undang-undang,” menurut kenyataan berkenaan.
Firma itu turut menyeru masyarakat supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan naratif yang belum disahkan dan menyerahkan proses siasatan kepada pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








