Kerajaan teliti mekanisme wujudkan arkib digital P. Ramlee
KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti mekanisme terbaik untuk memperoleh dan memanfaatkan karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, termasuk kemungkinan mewujudkan arkib digital yang menghimpunkan karya serta dokumentasi tokoh seni berkenaan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, usaha itu bagaimanapun perlu mengambil kira isu hak cipta berikutan kerajaan belum memiliki hak cipta ke atas filem-filem Allahyarham.
Katanya, status pemilikan karya berkenaan perlu diteliti secara terperinci berdasarkan rekod penerbitan, perjanjian dan dokumen berkaitan.
“Kerajaan mengiktiraf karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai khazanah seni dan warisan negara yang tidak ternilai serta komited memastikan legasi beliau terus dipelihara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, sebahagian besar filem serta bahan audio dan lagu P. Ramlee kini disimpan oleh Arkib Negara Malaysia sebagai rekod warisan negara.
Menurutnya, Arkib Negara Malaysia telah memperoleh 45 filem dan 65 bahan audio atau lagu daripada pelbagai sumber, termasuk Jabatan Penyiaran Malaysia dan EMI.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian Komunikasi menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan meneliti mekanisme terbaik untuk memperoleh dan memanfaatkan karya berkenaan, termasuk melalui pemerolehan hak, pengurusan bersama atau bentuk kerjasama dengan pemegang hak.
“Bagi cadangan mewujudkan arkib digital, FINAS sememangnya mempunyai usaha untuk mendigitalkan bahan yang berada dalam simpanannya.
“Kerjasama dengan Arkib Negara Malaysia juga akan diteliti bagi memastikan bahan berkaitan P. Ramlee dapat didigitalkan dan dipelihara dengan baik sekiranya salinan tambahan karya berkenaan berjaya diperoleh,” katanya.
Teo berkata, rundingan dengan pemegang hak karya P. Ramlee juga masih diteruskan, termasuk dengan pihak di Singapura.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan karya dan legasi seniman agung berkenaan dapat dipelihara serta dimanfaatkan untuk tujuan penyelidikan, pendidikan dan rujukan generasi akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








