BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Tiga lelaki warga Jepun ditahan bawa masuk kokain di KLIA

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki warga Jepun ditahan selepas dikesan membawa masuk dadah jenis kokain yang menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, awal pagi semalam.

Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), cubaan menyeludup masuk dadah itu dikesan sekitar jam 1.45 pagi selepas pegawainya mengesan imej mencurigakan melalui mesin imbasan bagasi.

Agensi itu berkata, dadah itu ditemui semasa pemeriksaan fizikal ke atas satu daripada enam bagasi dan beberapa beg galas.

Katanya, ketiga-tiga lelaki warga Jepun terbabit dikesan memasuki negara ini selepas menaiki penerbangan dari Bangkok, Thailand, menggunakan penerbangan MH0781.

“Pegawai AKPS menemukan bahan yang dipercayai dadah jenis kokain yang diselindungkan dengan menutup bungkusan tersebut menggunakan ikan bilis dan udang kering serta dibungkus secara mampat bagi mengaburi pihak pengesanan.

“Hasil pemeriksaan keseluruhan bagasi mengesahkan lagi kesemua bagasi berkenaan mempunyai barangan terlarang iaitu dadah jenis kokain seberat 12 kilogram (kg) secara keseluruhan dianggarkan bernilai RM12.4 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes sudah diserahkan sepenuhnya kepada Bahagian Narkotik, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut.

AKPS menegaskan pihaknya kekal komited memperkukuh pemantauan keselamatan dan kerjasama rentas agensi bagi memastikan pintu masuk negara sentiasa terlindung daripada ancaman penyeludupan, khususnya membabitkan dadah berbahaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button