Polis tumpaskan dua rangkaian sindiket dadah, rampasan cecah RM21 juta
SHAH ALAM – Polis berjaya menggagalkan kegiatan dua sindiket pengedaran dadah dalam dua operasi berasingan di Selangor dan Kuala Lumpur dengan jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan RM21 juta.
Menurut kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), menerusi Op Bena yang dijalankan pada 12 Februari lalu, lima lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 37 tahun ditahan.
Menurut kenyataan itu, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai aktif dalam kegiatan gangsterisme di sekitar Lembah Klang.
“Mereka pernah ditangkap bawah SOSMA melibatkan kes bunuh, khianat api, menyebabkan cedera parah dan ugutan.
“Berdasarkan kesalahan lampau serta risikan polis, kumpulan ini juga terlibat dalam gangsterisme di Lembah Klang terutama di Klang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Dalam operasi tersebut, katanya, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, heroin dan MDMA dengan berat keseluruhan melebihi 158 kilogram yang dipercayai dibawa masuk dari utara Semenanjung.
Rampasan itu katanya, dianggarkan boleh menjejaskan kira-kira 793,000 pengguna.
Menurut JSJN, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak Julai tahun lalu dengan menjadikan kenderaan yang ditinggalkan di lokasi tertentu sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diambil pembeli.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan sama, satu lagi sindiket yang cuba mengedar dadah menggunakan bot pancung melalui perairan Selangor dan Selat Melaka turut dipatahkan menerusi Op Tapis pada 12 Februari lalu.
Tiga warga asing berusia antara 26 hingga 53 tahun diberkas di Sekinchan selepas dipercayai menyamar sebagai nelayan untuk mengedar dadah ke negara jiran.
Polis turut merampas lebih 170 kilogram dadah serta sepucuk pistol dan 45 butir peluru dalam sebuah bot dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM12.6 juta.
Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak 2021 dengan suspek utama berperanan sebagai koordinator laut dan darat.
Dua suspek lelaki didapati positif methamphetamine dan dipercayai berada di negara ini tanpa dokumen sah.
Ketiga-tiga suspek direman 14 hari sehingga 26 Februari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








