Puripol sukar digugat, pecahkan rekod 100m Sukan Asia dengan catatan 9.90s
NAGOYA – Pelari pecut Thailand, Puripol Boonson, menamatkan penantian 48 tahun negara itu untuk meraih pingat emas acara 100 meter lelaki Sukan Asia selepas mencatat masa 9.90 saat di Nagoya, Jepun, malam ini.
Lebih manis, Puripol turut memecahkan rekod Sukan Asia buat kali kedua dalam tempoh sehari selepas sebelum itu mencatat 9.91 saat pada peringkat separuh akhir.
Pelari berusia 20 tahun itu menampilkan prestasi cemerlang dalam final sebelum melintasi garisan penamat sebagai juara dengan catatan 9.90 saat.
Pingat perak menjadi milik wakil Oman, Ali Al Balushi dengan catatan 10.04 saat, manakala gangsa turut diraih atlet Oman, Malham Al Balushi selepas merekodkan 10.11 saat.
Kejayaan itu menyaksikan Puripol menjadi atlet Thailand ketiga memenangi emas 100 meter lelaki di pentas Sukan Asia.
Dua atlet Thailand terdahulu yang pernah memenangi acara itu ialah Anan Rattanapol pada Sukan Asia 1974 di Iran dan Suchart Jaesuraphap pada edisi 1978 di Bangkok.
Kemenangan Puripol sekali gus menamatkan kemarau 48 tahun Thailand bagi pingat emas acara 100 meter lelaki Sukan Asia.
Sementara itu pelari negara, Azeem Fahmi menamatkan larian di tempat terakhir selepas mengalami kekejangan kaki.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








