BERITA SEMASA

SCRUT Garage sasar 100 bengkel sertai platform digital menjelang September

KUALA LUMPUR SCRUT Garage menyasarkan sekurang-kurangnya 100 bengkel dan penyedia perkhidmatan automotif menyertai platform digitalnya menjelang pelancaran rasmi kepada pengguna pada September ini, sekali gus memperkukuh usaha pendigitalan industri servis automotif tempatan.

Menurut Pengasas Bersama SCRUT Garage, Aliff Ahmad dan Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel, inisiatif yang diterajui Scrut Technology Sdn Bhd itu bertujuan membangunkan ekosistem digital yang membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) automotif beralih kepada sistem pengurusan operasi yang lebih cekap dan sistematik.

Menurut mereka, lebih 20 syarikat yang majoritinya dimiliki usahawan Bumiputera telah menyertai platform tersebut setakat ini.

“SCRUT Garage merupakan aplikasi pengurusan kenderaan dan sistem operasi bengkel digital yang menghubungkan pengguna dengan pelbagai penyedia perkhidmatan automotif termasuk bengkel, pusat servis serta penyedia perkhidmatan berkaitan menerusi satu platform.

“Aplikasi itu membolehkan pengguna merekodkan sejarah penyelenggaraan kenderaan secara sistematik, selain membantu pengusaha bengkel mengurus operasi harian dengan lebih cekap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Scrut
Majlis pelancaran SCRUT Garage

Dalam pada itu katanya, platform berkenaan dibangunkan berdasarkan pengalaman syarikat mengendalikan bengkel kenderaan sejak 2017, sekali gus membolehkan penyelesaian yang ditawarkan memenuhi keperluan sebenar industri serta menangani cabaran yang dihadapi pengusaha bengkel.

Sementara itu, SCRUT Garage turut menggalakkan lebih banyak bengkel dan penyedia perkhidmatan automotif menyertai platform sebelum pelancaran rasmi bagi membolehkan lebih ramai PKS menikmati manfaat pendigitalan tanpa perlu menanggung kos pembangunan sistem yang tinggi.

Menurutnya, kebanyakan bengkel kecil dan sederhana masih belum mempunyai sistem pengurusan digital sendiri disebabkan kos pembangunan perisian yang tinggi.

“Melalui ekosistem SCRUT Garage, pengusaha bengkel hanya perlu menyertai platform sedia ada bagi berkongsi kemudahan pengurusan operasi dan memperluaskan capaian kepada pelanggan,” katanya.

Selain menawarkan sistem pengurusan bengkel, SCRUT Garage turut menyediakan laporan sejarah kenderaan, pemeriksaan kenderaan serta penyelesaian data automotif berasaskan API.

Katanya, platform berkenaan dibangunkan berasaskan prinsip integriti dengan menggunakan data automotif yang sah bagi meningkatkan ketelusan dalam ekosistem kenderaan terpakai, di samping membantu mengurangkan penipuan dan penyebaran maklumat mengelirukan.

“SCRUT Garage juga tidak terlibat dalam urusan jual beli kenderaan, sebaliknya memfokuskan kepada penyediaan data dan pemeriksaan kenderaan yang dipercayai pengguna.

“Dari segi potensi pasaran, Malaysia merekodkan kira-kira 500,000 hingga 600,000 transaksi kenderaan terpakai setiap tahun, namun SCRUT Garage ketika ini meliputi kurang daripada lima peratus daripada jumlah tersebut.

“Bagi segmen kenderaan recond pula, terdapat sekitar 45,000 transaksi setiap tahun dengan platform itu kini meliputi kira-kira 15 peratus daripada pasaran berkenaan, sekali gus menunjukkan ruang pertumbuhan yang masih luas pada masa hadapan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button