Koperasi sekolah jana RM2 juta setahun, bakat muda perlu dibimbing
BANGI – Potensi pelajar sekolah menengah dalam gerakan koperasi perlu digilap sejak awal bagi melahirkan generasi baharu yang mampu menerajui sektor itu, termasuk sebagai pengasas dan pemimpin koperasi masa depan.
Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Onn Abu Bakar berkata, usaha membangunkan bakat muda tidak seharusnya tertumpu kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) sahaja, sebaliknya perlu bermula di peringkat sekolah.
Menurutnya, gerakan koperasi sekolah menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila terdapat koperasi yang berjaya menjana pendapatan antara RM1 juta hingga RM2 juta setahun.
“Pencapaian itu membuktikan pelajar sekolah mempunyai potensi besar untuk dibimbing menjadi sebahagian daripada penggerak ekonomi koperasi negara.
“Kalau kita bimbing mereka dari sekolah menengah, kemudian ke IPT dan seterusnya kepada masyarakat, saya rasa ia akan memberikan impak yang luar biasa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Pertandingan Generasi Inovasi Koperasi (GIK) 2026 di Bangi Avenue Convention Centre, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Onn berkata, IKMa bercadang membawa idea inovasi terbaik yang dihasilkan menerusi pertandingan berkenaan ke peringkat projek rintis bersama koperasi bersesuaian.
“Pertandingan julung kali dianjurkan itu melibatkan 21 institusi pendidikan terdiri daripada enam universiti awam, lima institusi swasta dan 10 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
Menurutnya, beliau tidak menyangka peserta mampu menghasilkan pelbagai idea inovatif termasuk aplikasi dan program yang berpotensi digunakan oleh koperasi dalam tempoh tiga hari dua malam pertandingan berlangsung.
“Ini satu pendekatan IKMa untuk mengangkat generasi muda, bagaimana pelajar boleh membantu membangunkan gerakan koperasi negara.
“Kita akan cuba mengadakan satu projek rintis selepas ini untuk mengembangkan atau mengaplikasikan idea berkenaan kepada koperasi,” katanya.
Beliau berkata, usaha merealisasikan idea berkenaan memerlukan kerjasama pelbagai agensi kerana IKMa tidak boleh bergerak bersendirian dalam memperkukuh gerakan koperasi negara.
Antara agensi yang boleh digembleng termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi membantu mengembangkan potensi inovasi yang dihasilkan peserta.
Sementara itu, IKMa akan terus memperkasakan peranannya dalam pembangunan gerakan koperasi negara sempena sambutan ulang tahun ke-70 penubuhan institusi berkenaan pada 13 November ini.
“Pihak pengurusan IKMa sudah menyusun kalendar program sehingga penghujung tahun ini, selain merangka pelbagai aktiviti bagi tahun hadapan,” katanya lagi.
Beliau yakin pengalaman selama tujuh dekad serta perancangan berterusan itu membolehkan IKMa terus memainkan peranan dalam memperkukuh pembangunan koperasi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








