Sifar kematian banjir mesti jadi keutamaan hadapi Monsun Timur Laut
KUALA LUMPUR – Kesiapsiagaan menghadapi fenomena banjir sempena peralihan Monsun Timur Laut perlu memberi tumpuan kepada usaha mencapai sasaran sifar kemalangan maut menerusi kerjasama bersepadu semua pihak.
Peringatan itu disuarakan berikutan ramalan cuaca semasa yang menjangkakan taburan hujan lebat berterusan di beberapa negeri Pantai Timur dan Semenanjung, sekali gus meningkatkan risiko kenaikan paras air sungai dan banjir kilat.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun kehadiran musim tengkujuh tidak dapat dielakkan, kehilangan nyawa manusia seharusnya boleh dicegah dengan perancangan keselamatan yang proaktif.
“Fokus utama seluruh jentera pengurusan bencana dan masyarakat adalah memastikan sifar mangsa lemas, sifar kematian yang boleh dielakkan dan tiada tragedi berulang sepanjang monsun kali ini.
“Setiap pihak berkuasa tempatan perlu memastikan sistem perparitan dibersihkan, manakala agensi penyelamat wajar bersiap siaga dengan kelengkapan logistik dan pusat pemindahan sementara (PPS) yang mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi arahan berpindah seawal amaran dikeluarkan, selain mengelakkan aktiviti berbahaya seperti bermain atau meredah arus air banjir deras.
Beliau turut menegaskan pentingnya menjaga keselamatan golongan rentan terutamanya warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik agar tidak terputus bekalan ubat-ubatan atau ditinggalkan bersendirian di kediaman yang berisiko dinaiki air.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








