BERITA SEMASA

Positif syabu, pemandu Vanette langgar beberapa kenderaan ketika dikejar polis

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemandu Nissan Vanette yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis membawa padah apabila dia ditahan di Cyberjaya selepas dikejar dari Sri Petaling, semalam.

Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek berusia 41 tahun yang bekerja sebagai penghantar makanan itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, kejadian bermula pukul 1.20 tengah hari ketika anggota polis melakukan rondaan di Jalan Merah Silu, Sri Petaling.

Menurutnya, anggota bertugas pada mulanya mengesan suspek menggunakan telefon bimbit ketika memandu sebelum mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, pemandu terbabit bertindak membuat pusingan U sebelum melarikan diri sehingga menghala ke Lebuh Raya MEX.

“Suspek berjaya ditahan di Persiaran APEC, Cyberjaya dan pemeriksaan terhadap kenderaan itu tidak menemui sebarang barang salah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang melarikan diri, suspek dipercayai melanggar beberapa kenderaan dari Sri Petaling ke Cyberjaya. Pemandu yang terlibat diminta membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil pihak trafik.

Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan narkotik.

Suspek akan dipohon reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Semalam, beberapa keratan video suspek yang memandu van Vanette melarikan diri dari polis tular di media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button