Dakwa sudah bernikah, rupanya hanya rakan sekerja
MERSING – Helah seorang lelaki mendakwa sudah berkahwin dengan wanita yang menemaninya di sebuah resort di sini terbongkar apabila kedua-duanya gagal mengemukakan dokumen pernikahan ketika pemeriksaan penguat kuasa agama, tengah malam Sabtu.
Pasangan berusia lingkungan 20-an yang bekerja di Johor Bahru itu ditahan dalam operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada pukul 12.20 tengah malam.
Menurut kenyataan JAINJ, pemeriksaan dilakukan selepas anggota penguat kuasa mengetuk pintu bilik resort berkenaan beberapa kali sebelum dibuka seorang lelaki.
“Pemeriksaan mendapati seorang wanita sedang duduk di atas katil, manakala lelaki itu mendakwa mereka suami isteri.
“Bagaimanapun, kedua-duanya gagal menunjukkan dokumen pernikahan dan memberikan keterangan bercanggah ketika disoal secara berasingan,” menurut kenyataan itu.
JAINJ berkata, lelaki berkenaan pada awalnya mendakwa mereka sudah bernikah, malah menyatakan tarikh serta lokasi pernikahan.
Namun, wanita terbabit mengaku mereka belum mempunyai ikatan perkahwinan.
“Semakan lanjut mendapati lelaki itu sudah beristeri, manakala wanita berkenaan masih belum berkahwin. Kedua-duanya merupakan rakan sekerja dan sering bertemu atas urusan kerja,” katanya.
Pemeriksaan di bilik turut menemukan pakaian milik kedua-duanya di dalam almari, dipercayai menunjukkan mereka menginap di resort berkenaan selepas datang dari Johor Bahru dengan menaiki kereta.
Pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 27 berkaitan kesalahan khalwat. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan seumpama itu boleh menghubungi JAINJ menerusi talian 07-2076429.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








